(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat 6.9 peratus pada September berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Ini didorong oleh kenaikan mendadak dalam penghantaran barangan elektronik, menurut data pemerintah pada Jumaat (17 Okt).
Pertumbuhan eksport bulan lalu melebihi jangkaan tinjauan Reuters yang meramalkan penguncupan 2.1 peratus, dan menyusuli penyusutan sebanyak 11.5 peratus setelah disemak pada Ogos.
IKLAN
Eksport produk elektronik meningkat sebanyak 30.4 peratus dari tahun ke tahun pada September, berbanding penurunan 6.5 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dalam kenyataan media.
Litar bersepadu, komputer peribadi dan produk media cakera masing-masing berkembang sebanyak 34.9 peratus, 58.3 peratus dan 42.9 peratus, menyumbang paling besar kepada pengembangan itu, tambahnya.
Eksport produk bukan elektronik pula berkembang sebanyak 0.4 peratus, setelah mengalami penguncupan 13.3 peratus pada Ogos. Emas bukan kewangan dan jentera khusus menyumbang paling besar kepada pertumbuhan ini, dengan peningkatan masing-masing sebanyak 82.7 peratus dan 14.1 peratus.
Dalam kalangan pasaran utama, penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport adalah Hong Kong, Taiwan, dan China, manakala penghantaran ke Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Indonesia menurun, kata EnterpriseSG.
Singapura dikenakan kadar tarif 10 peratus oleh Washington, dan eksport negara ke Amerika Syarikat menjunam sebanyak 9.9 peratus pada September tahunan, selepas kejatuhan 29.1 peratus pada Ogos.
IKLAN
Eksport semula bukan minyak meningkat 21.2 peratus pada September, melanjutkan pertumbuhan 12 peratus pada Ogos, dengan kedua-dua produk elektronik dan bukan elektronik menunjukkan peningkatan.
Pertumbuhan dalam eksport semula bukan elektronik adalah disebabkan oleh enjin dan motor bukan elektrik, jentera khusus, dan emas bukan kewangan, yang masing-masing meningkat sebanyak 40.1 peratus, 17.5 peratus dan 30 peratus.
Eksport dan import keseluruhan negara meningkat 14.9 peratus pada September, menyusuli peningkatan 2.9 peratus pada bulan sebelumnya. Jumlah eksport meningkat 15 peratus, didorong terutamanya oleh eksport bukan minyak dan minyak, masing-masing pada 16.9 peratus dan 4.7 peratus.
Walaupun ekonomi Singapura berprestasi lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini (disebabkan oleh pengeksportan dan pengeluaran awal bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat), pihak berkuasa memberi amaran bahawa pertumbuhan berkemungkinan perlahan pada separuh kedua.
EnterpriseSG meramalkan pertumbuhan eksport bukan minyak antara 1 peratus hingga 3 peratus untuk keseluruhan tahun ini, dan menjangkakan sedikit kelemahan pada separuh kedua 2025.
IKLAN
Singapura juga bersiap sedia untuk kesan tarif sektoral, termasuk tarif ke atas eksport farmaseutikal yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada September. Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan, Gan Siow Huang, berkata pada Selasa bahawa pelaksanaan tarif itu sudah ditangguh untuk membolehkan syarikat berunding bagi kemungkinan pengecualian dengan pentadbiran Amerika Syarikat.
Eksport utama SG, didorong penghantaran barangan elektronik, naik 6.9% pada Sep; melebihi jangkaan
SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat 6.9 peratus pada September berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Ini didorong oleh kenaikan mendadak dalam penghantaran barangan elektronik, menurut data pemerintah pada Jumaat (17 Okt). Pertumbuhan eksport bulan lalu...