Pengeluaran sektor pengilangan SG naik 13% pada Mei, didorong pengeluaran elektronik
Gambar ini menunjukkan sebuah lengan robotik memindahkan wafer semikonduktor di dalam kemudahan pembuatannya di GlobalFoundries Singapura pada 12 September 2023. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Pengeluaran sektor pengilangan Singapura meningkat 13 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran elektronik menyusuli permintaan tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Tidak termasuk sektor pengilangan bioperubatan, pengeluaran meningkat 17.7 peratus, menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) yang dikeluarkan pada Jumaat (26 Jun).
IKLAN
Berdasarkan pelarasan bermusim dari bulan ke bulan, pengeluaran pengilangan susut 0.7 peratus, manakala pengilangan tidak termasuk sektor bioperubatan meningkat 3.1 peratus.
Sektor elektronik, kejuruteraan ketepatan dan industri pengilangan am mencatat pertumbuhan, manakala sektor kejuruteraan pengangkutan, kimia dan pembuatan bioperubatan merekodkan penguncupan.
Pengeluaran elektronik meningkat 35.8 peratus, dipacu oleh segmen infokom dan elektronik pengguna serta semikonduktor. EDB menyatakan peningkatan itu didorong permintaan kukuh terhadap produk berkaitan AI.
Sektor kejuruteraan jitu pula berkembang 32.2 peratus, dengan segmen jentera dan sistem merekodkan peningkatan pengeluaran peralatan semikonduktor.
Segmen modul dan komponen jitu turut mencatatkan peningkatan dalam pengeluaran instrumen optik, penyambung elektronik, acuan, alat, jig dan lekapan.
IKLAN
Industri pengilangan am berkembang 1.8 peratus, didorong segmen industri pelbagai yang meningkatkan pengeluaran produk logam berstruktur.
Sebaliknya, pengeluaran sektor kejuruteraan pengangkutan susut lima peratus berikutan pengurangan kegiatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa, kerja berkaitan pelantar minyak dan platform luar pesisir serta permintaan yang lebih lemah terhadap peralatan medan minyak dan gas.
Sektor kimia pula merosot 11.5 peratus, didorong penurunan pengeluaran dalam segmen petroleum dan petrokimia akibat gangguan bekalan bahan mentah.
Pengeluaran bioperubatan susut 24.2 peratus sedang pengeluaran teknologi perubatan menurun berikutan permintaan yang lebih lemah terhadap peranti perubatan.
Sementara itu, pengeluaran farmaseutikal turut menguncup menyusuli pengeluaran produk biologi yang lebih rendah serta perubahan dalam campuran bahan farmaseutikal aktif.
Pengeluaran sektor pengilangan SG naik 13% pada Mei, didorong pengeluaran elektronik
SINGAPURA: Pengeluaran sektor pengilangan Singapura meningkat 13 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran elektronik menyusuli permintaan tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI). Tidak termasuk sektor pengilangan...