afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Dedah nama syarikat Malaysia bakar hutan, Kedutaan Indonesia diberitahu
Wakil Haram Brendon Gan (dua dari kanan) dan wakil interim Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun, menyerahkan memorandum kepada seorang wakil dari Kedutaan Indonesia.
Wakil interim Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun, berkata kejelasan diperlukan berhubung pihak yang patut dipersalahkan atas masalah jerebu yang sedang melanda.
Heng berkata, pihak berkuasa Indonesia menuding jari kepada syarikat Malaysia dan Singapura, manakala syarikat berkenaan pula mendakwa mengamalkan dasar mesra alam.
“Ketelusan diperlukan supaya syarikat yang bertanggungjawab dapat membersihkan nama dan syarikat yang tidak patuh dipertanggungjawabkan,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai Kedutaan Indonesia.
Selain Heng, wakil kumpulan advokasi pelajar Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan, turut menyeru Putrajaya menggubal akta jerebu rentas sempadan.
Walaupun Malaysia merupakan penandatangan pertama yang menerima pakai Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002, kata mereka, negara masih kekurangan perundangan ekstrateritorial yang memberi kuasa kepada mahkamah tempatan mendakwa syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara.
Gan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan koordinasi secara langsung dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk berkongsi data, analisis, dan senarai syarikat bagi menangani krisis alam sekitar ini secara bersama.
Beliau berkata, gerakan belia progresif dan masyarakat sivil akan menuntut kebertanggungjawaban daripada pemimpin yang dipilih sekiranya mereka gagal menunjukkan iltizam politik menangani isu jerebu rentas sempadan.
Sebelum itu, kira-kira 20 berkumpul di luar kedutaan sambil memegang kad manila bertulis ‘Can’t breathe’, ‘Belum merdeka dari jerebu’, dan ‘Name them, show the evidence, take action’, sambil melaungkan ‘Tolak, tolak asap!’ dan ‘Tolak, tolak jerebu!’.
Bantahan itu diadakan sebagai tindak balas terhadap kenyataan ahli politik Indonesia, Marwan Dasopang, yang menyeru Malaysia dan Singapura membantu mencegah kebakaran hutan di Kalimantan, berbanding sekadar merungut apabila membangkitkan syarikat dari dua negara itu menguruskan ladang kelapa sawit di wilayah tersebut.
Indeks pencemaran udara (IPU) di Serian, Sarawak, berada pada paras berbahaya iaitu 517 pada 10.45 pagi tadi. Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Timur Malaysia berada pada paras sederhana hingga berbahaya, manakala di Semenanjung berada dalam julat baik hingga tidak sihat.