afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
DAP perlu kekal dalam kerajaan agar agenda reformasi terlaksana, kata Syahredzan
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan beri amaran tindakan parti itu keluar kerajaan akan jejas agenda reformasi, selain bantut usaha PH tunai manifesto pilihan raya. (Gambar Facebook)
Syahredzan menegaskan, pengunduran DAP daripada Jemaah Menteri akan melumpuhkan agenda reformasi kerajaan, selain membantutkan usaha Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto pilihan rayanya.
“Sebab paling penting DAP perlu kekal (dalam kerajaan) adalah demi memastikan kerajaan ini tidak terpesong daripada landasan reformasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“DAP ialah nadi penggerak pentadbiran ini. Kita suara nurani kepada kerajaan Madani. Kitalah pihak yang memastikan pentadbiran ini sentiasa berada di jalan yang betul.”
Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi menambah, agenda reformasi bukan sekadar retorik slogan atau janji manifesto bagi DAP, sebaliknya menjadi asas teras perjuangan parti itu selama bertahun-tahun ketika menjadi pembangkang.
Beliau berkata, beberapa reformasi penting telah pun direalisasikan, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan Akta Audit, penubuhan Majlis Media Malaysia, serta Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam.
Beliau turut memetik reformasi pada peringkat Parlimen, antaranya Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, peluasan kuasa jawatankuasa pilihan khas Parlimen, serta ruang perbahasan bagi laporan-laporan utama seperti daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan ketua audit negara.
Tambahnya, beberapa rang undang-undang (RUU) pembaharuan lain turut dibentangkan tahun ini, merangkumi RUU had tempoh jawatan perdana menteri, pindaan perlembagaan bagi mengasingkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya, serta RUU Kebebasan Maklumat.
Syahredzan berkata, DAP turut mahu memperjuangkan agenda reformasi lain, termasuk peruntukan undang-undang bagi menjamin pengagihan peruntukan secara adil kepada semua Ahli Parlimen, isu yang telah diperjuangkan parti tersebut selama puluhan tahun.
“DAP perlu berada dalam saf pentadbiran bagi memastikan RUU ini berjaya direalisasikan. Jika kita di luar, kita akan kehilangan kelebihan yang diperlukan untuk memastikan adanya iltizam politik untuk melaksanakan reformasi ini,” katanya.
Pada Ahad, lebih 4,000 perwakilan DAP akan membuat keputusan sama ada parti itu perlu berundur atau terus berada dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.
Setakat ini, DAP Perak telah menyatakan sokongan sebulat suara untuk terus kekal dalam kerajaan perpaduan bagi membolehkan gabungan itu menunaikan janji-janji pilihan rayanya.
