afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,226
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,226
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
DAP N Sembilan, Selangor mahu Loke kekal selepas kalah PRN
Kekalahan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook di Chennah antara kejutan terbesar dalam PRN Negeri Sembilan.
DAP Negeri Sembilan berkata, Loke tidak patut dipertanggungjawabkan atas kekalahan parti di DUN Chennah dan Repah, yang dimenangi mereka pada PRN lalu.
DAP Selangor pula berkata, kepimpinan berterusan Loke penting untuk mengekalkan kestabilan dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, berkata jawatankuasa negeri sebulat suara mahu Loke terus memimpin parti di negeri itu.
“Kepimpinan Loke telah terbukti dan diiktiraf sebagai yang terbaik dalam sejarah DAP Negeri Sembilan,” katanya dalam catatan Facebook.
“Bermula dengan dua kerusi pada 2004, kepimpinan berwibawa Loke telah melonjakkan DAP Negeri Sembilan ke tahap yang dihormati kawan dan lawan.”
Ahli Parlimen Rasah itu berkata, DAP negeri memerlukan kepimpinan Loke bagi mengharungi cabaran politik akan datang dan bersedia untuk PRU16 selepas PH kehilangan majoritinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, analisis awal keputusan PRN menunjukkan calon PH dan DAP masih mendapat sokongan padu penyokong, walaupun berdepan retorik perkauman pembangkang sepanjang kempen.
DAP mempertahankan sembilan daripada 11 kerusinya dalam PRN semalam, manakala kerusi Chennah dan Repah jatuh ke tangan MCA.
Kekalahan Loke di Chennah antara kejutan terbesar dalam PRN semalam. Beliau kehilangan kerusi yang disandangnya sejak 2013 kepada Siow Kong Choon daripada MCA dengan majoriti 688 undi.
PH turut menyaksikan jumlah kerusinya berkurangan daripada 17 kepada 11, dengan PKR memenangi dua kerusi lain untuk gabungan itu. Amanah kalah di semua kerusi ditandinginya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, berkata negeri itu akan terus berdiri teguh bersama rakan sejawatnya di Negeri Sembilan dan bekerjasama dengan pimpinan pusat untuk menilai keputusan serta mengenal pasti penambahbaikan menyeluruh.
Jelasnya, persaingan di Chennah sangat sengit dan beliau memuji Loke mengambil tanggungjawab mempertahankan kerusi itu sendiri.
“Loke menunjukkan kewibawaan seorang pemimpin yang memikul tanggungjawab untuk mempertahankan DUN Chennah sendiri,” katanya dalam kenyataan.