Mujur tersedar ada King Cobra dalam rumah
Sik: "Jarak ular tedung selar itu dengan adik ipar saya agak dekat. Mujur dia perasan selepas terdengar dengusan kuat di atas alang kayu bumbung rumah," kata Hafisyah Ishak, 35.
Hafisyah berkata, alang rumah ibunya yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Charok Kit itu agak rendah dan bunyi dengusan ular tedung selar atau King Cobra itu terlalu jelas.
Katanya, ketika itu adik iparnya yang berusia 39 tahun itu hendak makan nasi di dapur pada jam 6.40 petang semalam.
"Sebaik dia nampak ular tedung selar itu melingkar atas alang rumah, dia menjerit panggil saya yang ketika itu duduk di rumah.
"Saya terus hubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik dan memaklumkan kejadian itu kepada mereka kerana bimbang ular itu akan jatuh ke bawah dan masuk ke dalam rumah, " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hafisyah berkata, rumahnya dan rumah ibunya terletak berhampiran belukar dan sebelum ini ada penduduk kampung memberitahu pernah terserempak dengan beberapa ekor ular di situ.
Katanya, penduduk kampung menasihatkannya supaya berhati-hati kerana bimbang kehadiran ular berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung penemuan seekor ular di kediamannya di kampung terbabit, semalam.
Beliau berkata, sepasukan anggota APM Sik yang diketuai Sarjan (PA) Done Bakar bersama empat anggota menghadiri kes berkenaan dan mendapati seekor ular spesis tedung selar (King Cobra) berada di alang dapur rumah pengadu.
"Tindakan pantas pasukan APM berjaya menjerut reptilia berbisa berkenaan menggunakan peralatan khas.
"Reptilia berkenaan dianggarkan sepanjang lebih dua meter dan berat enam kilogram dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sik sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), " katanya.
Haisul Aishah berkata, tangkapan ular tedung selar ini adalah yang ke-14 untuk bulan ini dan jumlah itu sekali ganda berbanding bulan lalu berikutan faktor cuaca tidak menentu menyebabkan reptilia itu keluar untuk mencari perlindungan dan sumber makanan.
Sehubungan itu, orang ramai di daerah Sik dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kehadiran ular di kediaman mereka dan sebarang kes kecemasan, orang awam di Daerah Sik boleh menghubungi APM Sik di talian 0108177991 atau talian kecemasan 999.
Artikel : Harian Metro