kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
BTA2026 Rekod 1,470 Spesies Biodiversiti, Raih Pengiktirafan ASEAN Dan Asia
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup melihat gambar yang dipamerkan ketika hadir pada Program Banding Trail Adventure 2026 di Resort Royal Belum hari ini.
Kejayaan mengenal pasti 1,470 spesies biodiversiti di Pulau Banding menerusi Banding Trail Adventure 2026 (BTA2026) melayakkan program itu menerima pengiktirafan ASEAN dan Asia Records bagi kategori “Jumlah Spesies Tertinggi Direkodkan Merentasi Tiga Domain Biologi dalam Satu Program Ekspedisi Denai”.
Pencapaian itu merupakan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 519 spesies yang direkodkan menerusi BTA2025 yang ketika itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Spesies Biodiversiti Terbanyak Dikenal Pasti dalam Satu Program”.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata program berkenaan selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 yang memberikan penekanan kepada pemuliharaan biodiversiti, penggunaan sumber secara lestari, perkongsian manfaat yang adil serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan ilmu pengetahuan.
“Saya menyambut baik inisiatif penganjuran Banding Trail Adventure (BTA2026) yang mempunyai nilai strategik dalam membantu negara memperkukuh pengetahuan dan pangkalan data berkaitan kekayaan biodiversiti Malaysia.
“BTA2026 menggabungkan penyelidikan saintifik, dokumentasi biodiversiti dan penglibatan langsung sukarelawan yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), institusi pengajian tinggi, sektor korporat serta komuniti tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pengiktirafan ASEAN & Asia Records Banding BTA2026, hari ini.
Selain itu, Arthur berkata pengaplikasian teknologi moden seperti penderiaan jauh, GIS, LiDAR, dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pelengkap berharga kepada kepakaran lapangan dalam mengukuhkan pemantauan serta pembuatan keputusan berasaskan fakta saintifik.
Beliau berkata setiap dapatan spesies yang berjaya dikenal pasti dan didokumentasikan sepanjang program itu menyokong secara langsung perancangan negara.
“Hal ini memperkasakan Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) sebagai Clearing House Mechanism (CHM) di bawah Convention on Biological Diversity (CBD), sekali gus menjadi repositori utama negara dalam mencapai Sasaran 2, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.
“Usaha murni melalui BTA 2026 turut selaras dengan kerangka Kunming–Montreal Global Biodiversity Framework dalam memastikan sasaran melindungi sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan daratan dan perairan pedalaman menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.