ni aku amik dari bernama...
Bank Negara Serbu Premis Asia Ceramic Marketing
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) membuat serbuan ke atas premis Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd di sini berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, bank pusat itu berkata ia memulakan penyiasatan terhadap syarikat itu di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Seksyen 25(1) BAFIA 1989 melarang mana-mana individu daripada memperoleh, mengambil, atau menerima deposit tanpa lesen yang sah, manakala Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 melarang mana-mana individu daripada terlibat dalam, atau cuba melibatkan diri dalam, atau bersubahat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
"Aset dan dokumen syarikat yang berkaitan telah dirampas untuk tujuan penyiasatan," kata BNM.
Ia juga mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim pengambilan deposit dan skim pelaburan yang ditawarkan melalui pelbagai saluran seperti internet, panggilan telefon, atau seminar anjuran individu atau syarikat yang tidak diberikan lesen atau diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Orang ramai boleh merujuk kepada senarai institusi berlesen yang dibenarkan untuk mengambil deposit di laman sesawang BNM di alamat
www.bnm.gov.my.
-- BERNAMA
bukan yg ni ker?