Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Tokoh Bahasa dan Persuratan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan ketika ditemui dalam sesi temu bual bersama Bernama di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.
Tokoh bahasa dan persuratan negara Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan menggesa agar peranan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dihidupkan semula sebagai platform strategik memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Beliau berkata MABM sebelum ini, berfungsi sebagai nadi penyelarasan gerakan bahasa Melayu di luar negara, dengan menghimpunkan wakil pelbagai rantau termasuk Amerika Utara, Eropah, Asia Timur, Asia Barat, Asia Selatan serta Oceania, bagi melaporkan perkembangan pengajian dan pengajaran bahasa Melayu di setiap wilayah.
“Setiap tahun mereka melaporkan perkembangan Bahasa Melayu di negara masing-masing dan kita bantu dari segi tenaga pengajar, bahan bacaan serta sokongan promosi termasuk bahan digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Awang berkata antara kekuatan MABM ialah jaringan institusi pendidikan dan penyelidikan yang aktif, termasuk kerjasama dengan universiti luar negara serta penyelarasan tenaga pengajar bahasa Melayu di pelbagai negara.
Namun, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM itu menzahirkan rasa dukacita apabila kesinambungan program itu terhenti agak lama, sekali gus menyebabkan banyak inisiatif pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa tidak dapat diteruskan.
“Kepemimpinan bertukar, tetapi program tidak wajar terhenti. MABM ditubuhkan dengan kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan aktif dalam tempoh tahun 2000 hingga 2015. Jaringan yang sudah dibina itu sangat besar makna dan impaknya, kerana melibatkan banyak negara sedunia.
“Pada satu ketika, MABM pernah menjadi platform penting menyelaraskan program promosi bahasa dan persuratan Melayu, termasuk misi akademik, pertukaran tenaga pengajar, program mobiliti pelajar serta penyediaan bahan pengajaran di luar negara,” katanya yang juga Profesor Emeritus Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Awang turut menjelaskan bahawa beberapa universiti di China, Jepun dan Eropah telah lama menawarkan pengajian bahasa Melayu, namun perkembangan itu perlu disokong melalui jaringan institusi seperti MABM agar lebih tersusun untuk kecemerlangan pada masa hadapan.
Aktifkan Semula MABM Perkukuh Bahasa Melayu Di Pentas Global - Awang Sariyan
Awang Sariyan, MABM, bahasa Melayu, antarabangsa