Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Penguasaan Bahasa Melayu Mesti Diperkukuh, Beri Ruang Belajar Bahasa Asing - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mesti diperkukuh dalam sistem pendidikan negara, namun ruang perlu juga diberikan kepada murid untuk belajar bahasa asing yang mempunyai nilai ekonomi dan global.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan rakyat, tanpa menafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan Arab.
“Sejak tiga tahun yang lalu, antara tugas utama saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah pastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu itu dikuasai oleh semua anak-anak tanpa kecuali,” kata beliau berucap pada perjumpaan bersama dengan warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Anwar berkata penguasaan bahasa Melayu itu, perlu meliputi semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan sekolah vernakular.
Beliau berkata usaha memperkukuh bahasa Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai menolak kepentingan bahasa lain, kerana penguasaan pelbagai bahasa boleh menjadi kekuatan kepada negara.
“Bahasa Melayu dan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris…dalam negara seperti ini, apa ruginya, apa bercanggahnya kalau kita berikan ruang secukupnya untuk anak-anak kita menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab atau ada yang nak pilih bahasa Perancis dan lain-lain.
“Kita tahu kepentingan bahasa Inggeris. Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan bahasa Inggeris itu harus ditingkatkan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata perubahan landskap ekonomi dunia turut menyebabkan penguasaan bahasa asing menjadi semakin penting, termasuk bahasa Mandarin susulan perkembangan ekonomi China.
“Lima puluh tahun yang lepas bila kita bicara pendidikan bahasa Cina, termasuk semasa saya menjadi Menteri Pendidikan, orang bicara bahasa Cina itu hanya bahasa yang dituntut oleh anak-anak keturunan Cina di Malaysia... Tetapi sekarang kalau kita bicara bahasa Cina, ia sudah menjadi bahasa ekonomi rantau yang penting,” kata beliau.