Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
6,951 Belia Sabah Terima Bantuan SYABAS Berjumlah RM21 Juta
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
Sebanyak 6,951 belia di seluruh Sabah menerima bantuan Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) membabitkan peruntukan RM21 juta sejak skim itu diperkenalkan pada 2022, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata penerima bantuan berkenaan menjalankan pelbagai jenis perniagaan, termasuk 64 usahawan belia di kawasan DUN Nabawan.
“Melalui bantuan SYABAS ini, ramai anak muda Sabah menjadi usahawan berjaya sehingga ada di antara mereka memperoleh pendapatan mencecah jutaan ringgit. Produk mereka juga dipasarkan hingga ke luar negara.
“Antara penerima yang berjaya ialah Amran Jining dari daerah Keningau yang mengusahakan tanaman hidroponik sayuran, Erliana Said dari Tawau yang mengusahakan perusahaan bakeri, roti, kek, dan pastri serta Sitti Fatimah Janna yang merupakan usahawan kosmetik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) mengenai jumlah penerima SYABAS serta program berkaitan belia yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Nizam berkata kementeriannya turut menyediakan program susulan berbentuk bimbingan, pemantauan dan pembangunan kapasiti kepada penerima SYABAS bagi memastikan mereka mampu memulakan atau mengembangkan perniagaan serta menjana pendapatan secara mampan.
Beliau berkata kementerian turut menyediakan pangkalan data penerima skim berkenaan yang mengandungi maklumat berkaitan nama penerima, jenis perniagaan dan pendapatan mereka.
Katanya, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta turut diperkukuh bagi memperluas peluang latihan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan, pertanian, perindustrian, pembinaan, logistik, akuakultur, perikanan, digital dan ekonomi kreatif.
Dalam perkembangan berasingan, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata Tahun Melawat Sabah 2027 diangkat sebagai agenda strategik kerajaan negeri bukan sahaja untuk meningkatkan ketibaan pelancong, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif merentasi pelbagai sektor.