PEKAN 1 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web interaktif ‘Warkah Untuk PM’ sebagai saluran untuk rakyat mengemukakan pandangan dan masalah kepada kerajaan berhubung isu-isu semasa.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sebagai Duta Khas laman web itu.
Laman web itu dibangunkan oleh tujuh badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Tabung Amanah Muhibah (Tamu), Yayasan Pekerja Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Najib berkata, laman web tersebut akan membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendengar secara peribadi segala isu dan pandangan yang mungkin menjadi kebimbangan rakyat.
Kewujudan laman web itu juga, katanya, membolehkan rakyat merasa lebih dekat dengan kerajaan apabila segala pandangan dan masalah yang dikemukakan, diberi perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, seramai 100 pengirim e-mel yang dianggap memberi pandangan bernas kepada kerajaan berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri.
‘‘Kerajaan akan mengambil sikap responsif terhadap apa juga masalah yang dikemukakan oleh rakyat menerusi laman web tersebut. Kalau idea yang dikemukakan bernas, ia mungkin boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di kediamannya di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan susulan akan diambil dalam setiap masalah yang dikemukakan sama ada di peringkat Pusat atau negeri.
Beliau berkata, laman web itu bukan dibangunkan bagi tujuan pilihan raya semata-mata tetapi untuk sepanjang masa.
‘‘Laman web ini akan terus digunakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 oleh rakyat untuk berinteraksi dengan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Najib, pelantikan Sheikh Muszaphar Shukor sebagai Duta Khas bertujuan mempromosikan laman web tersebut dan membantu kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
‘‘Sheikh Muszaphar Shukor akan melakukan kerja-kerja promosi untuk meyakinkan rakyat mengenai faedah menggunakan laman web tersebut,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang pandangan dan masalah boleh melayari di alamat:
www.warkahuntukpm. com.my