combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Varieti Melon Baharu Bakal Jadi Ikon MAHA 2026
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus bergambar bersama pengamal media melihat pelbagai jenis buah tembikai pada Program Food Tasting bersama Media sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. Turut sama Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Industri hortikultur negara bakal mencatat perkembangan baharu menerusi pengenalan varieti melon baharu yang akan dilancarkan secara rasmi pada majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 esok.
Buah melon yang diangkat sebagai ‘buah simbolik’ atau fruit of the event bagi MAHA kali ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga tahun oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama pengusaha tempatan.
Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata pelancaran varieti melon berkenaan, termasuk pengumuman nama khasnya akan disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Tanpa kehadiran buah sebagai ikon utama, MAHA tahun ini seolah-olah kekurangan simbol penganjuran. Jadi, pengenalan varieti baharu buah melon ini merancakkan lagi industri tanaman melon negara,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi uji rasa bersama media di sini hari ini.
Abang Ahmad Kerdee berkata varieti melon berkenaan mempunyai beberapa keistimewaan, antaranya tahap kemanisan yang mencecah 18 darjah Brix serta tekstur isi yang lebih rangup berbanding varieti sedia ada di pasaran.
Beliau berkata melon berkenaan bersaiz kecil dengan berat sekitar 1.3 kilogram serta mempunyai corak jaring (netting) pada kulit, selain menyasarkan pengguna yang menggemari buah dalam saiz hidangan yang lebih kecil pada harga berpatutan, iaitu sekitar RM15 sebiji.
Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Faisal Sulaiman berkata pemilihan varieti baharu bersaiz mini itu bertepatan dengan trend dan permintaan semasa pengguna tempatan yang semakin menggemari buah-buahan dalam saiz hidangan yang sesuai untuk isi rumah kecil.
"Penyelidikan yang dijalankan sejak tiga tahun lalu membolehkan pihak FAMA dan pengusaha menangani trend pasaran secara lebih tepat.