combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
UPSI Sasar i-Furqan Jadi Pusat Rujukan Pendidikan Tahfiz Bertaraf Antarabangsa
--kredit FB Universiti Pendidikan Sultan Idris
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) menjadi pusat rujukan pendidikan tahfiz yang berperanan besar di peringkat nasional, Nusantara dan antarabangsa dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam negara.
Ahli Lembaga Pengarah UPSI Prof Dr Azmi Mohamad berkata aspirasi itu selaras dengan penaiktarafan Jabatan Pendidikan Islam (JPI) kepada i-Furqan yang diumumkan secara rasmi tahun ini.
Beliau berkata i-Furqan tidak seharusnya berfungsi sebagai sebuah jabatan akademik biasa, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam dan institusi tahfiz negara.
“Kami mahu melihat i-Furqan melangkah lebih jauh. Peranannya bukan sahaja di UPSI tetapi juga di peringkat nasional.
“Kami mahu melihat bagaimana i-Furqan boleh membantu memperkasa dasar pendidikan tahfiz negara serta menjadi pusat rujukan yang dicontohi bukan sahaja di Malaysia malah di Nusantara dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman Prof Dr Mohamad Rozaimi Ramle yang berlangsung di Dewan Konvensyen Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI di Tanjong Malim hari ini.
Azmi berkata UPSI turut mendokumentasikan setiap fasa pembangunan i-Furqan, termasuk pembinaan bangunan baharunya sebagai sebahagian daripada usaha membina legasi institusi itu untuk generasi akan datang.
“Kami mahu melihat di mana kedudukan i-Furqan dalam tempoh 30 tahun akan datang dan sumbangannya kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Mohamad Rozaimi atas sumbangan besar dalam bidang fiqah dan usul fiqah yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional serta antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama UPSI.