BTC USD 75,561.0 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,698
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,698
Reaction score
97
Points
80

TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah​

600933e7d9c0dbdc2f825d76322d54786a3183b4ef221


Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet hari ini menyeru rakyat menghayati semangat hijrah dengan menjadikan kedatangan Awal Muharam 1448H sebagai titik muhasabah untuk memperkukuh tekad, perpaduan dan daya tahan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Maal Hijrah mengingatkan rakyat bahawa perubahan tidak berlaku dengan kata-kata semata-mata, sebaliknya menuntut usaha, disiplin dan kesungguhan untuk menjadi lebih baik daripada semalam.

"Hijrah juga mengajar kita erti pengorbanan dan kecekalan dalam menghadapi setiap cabaran kehidupan. Nilai-nilai inilah yang perlu terus menjadi pedoman dalam kita memimpin, bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat.

"Dalam dunia yang sentiasa berubah, semangat hijrah menuntut kita untuk berani melakukan pembaharuan, memperbaiki kelemahan serta terus berusaha memberikan yang terbaik demi kemajuan bersama," katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Awal Muharam.

Beliau berharap tahun baharu Hijrah itu dapat menguatkan tekad rakyat untuk terus melaksanakan amanah dengan ikhlas, memperkukuh perpaduan dan berkhidmat sebaiknya demi agama, bangsa dan negara.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M tahun ini mengangkat tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati", bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik permulaan pembinaan tamadun Islam unggul melalui penubuhan negara Madinah.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Maal Hijrah bukan sekadar pertukaran angka dalam kalendar Islam, sebaliknya seruan untuk memperbaiki diri, memperkukuh perpaduan dan memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap agama, keluarga serta negara.

Beliau berkata keadaan dunia yang semakin mencabar termasuk krisis tenaga, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia menuntut rakyat mengambil iktibar daripada semangat hijrah dengan bersikap lebih berhemah, berdaya tahan serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.

Fadillah berkata Islam turut mengajar umatnya supaya mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran dalam setiap aspek kehidupan, termasuk membudayakan amalan berjimat cermat, menggunakan tenaga dan sumber secara berhemat, mengelakkan pembaziran makanan, air serta elektrik, selain mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

 
Back
Top
Log in Register