BTC USD 76,071.1 Gold USD 4,264.21
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tiga Sekeluarga Maut Dirempuh Lori Imigresen Dipercayai Datang Bercuti Di KL

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,698
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,698
Reaction score
97
Points
80

Tiga Sekeluarga Maut Dilanggar Lori Imigresen​

624267b8b9634f94db48cf1a6e3a0e696a850a4ede38e

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa

Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata akibat perlanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki warga tempatan yang juga satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix yang dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Beliau berkata tiga pejalan kaki terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya yang masing-masing berumur 25 dan 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Mohd Zamzuri, seorang lagi mangsa, iaitu isteri kepada lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kedua-dua belah kaki dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu lori JIM, pemandu Proton Saga dan pemandu Inokom Matrix bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga ditahan bagi membantu siasatan manakala ujian pernafasan serta saringan awal air kencing terhadap mereka didapati negatif alkohol serta dadah,” katanya.

 

PM Anwar Arah Siasatan Segera Kemalangan Maut Babitkan Lori Imigresen​

cc5a6bdebbe984bd21a74b17a0641c5369e74b6f7e3b2

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kemalangan maut membabitkan lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam   insiden tragis berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 dan 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai dilanggar sebuah lori JIM dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.

Isteri lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kedua-dua belah kaki dan kini dirawat di Zon Merah, Hospital Kuala Lumpur.

Menurut polis, lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.

 

Tiga Sekeluarga Maut Dirempuh Lori Imigresen Dipercayai Datang Bercuti Di KL​

482baf7525bf84da6d2a133cab6c217769a1c0ef74128

ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa

Tiga sekeluarga yang maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi, dipercayai sedang bercuti di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa menetap di Kampar, Perak.

“Bagaimanapun tidak dipastikan sejak bila mereka berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata isteri kepada mangsa lelaki yang maut dalam kejadian itu kini berada di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya kritikal.

Mohd Zamzuri berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori JIM dan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan itu.

Difahamkan, seorang lagi anak pasangan itu tidak turut serta dalam percutian ibu bapanya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Tiga pejalan kaki iaitu lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 dan 12 tahun maut di tempat kejadian, manakala isteri mangsa berusia 55 tahun cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Imigresen Lakukan Siasatan Dalaman Susulan Kemalangan Libat Kenderaan Jabatan​

106b6b0f5b096eb5ff3bbcf37e2e6b1269cfa12ac7a89

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban

Jabatan Imigresen (JIM) akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan susulan kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini pada awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek berkaitan kejadian itu diteliti.

“Imigresen memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JIM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.

“JIM menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh lori Isuzu Black Maria JIM di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini.

Selain itu, Zakaria mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mangsa yang sedang dirawat diberikan kesembuhan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan pihak berkuasa.

“Orang ramai diminta menghormati privasi dan sensitiviti keluarga mangsa serta tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

 

Identiti Tiga Sekeluarga Maut Dirempuh Lori JIM Dikenal Pasti​

452ee2fb0b9cc66e5f01c16f2079074c6a855113194c6


Identiti tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mangsa ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.

“Seorang lagi yang terlibat iaitu isteri mangsa berusia 55 tahun sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lelaki iaitu pemandu lori JIM dan pemandu kereta Proton Saga masing-masing berusia 43 dan 50 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu direman sehari hingga esok bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anak saudara mangsa Zaid Darfis, 39, berkata pakciknya itu datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi ibunya (ibu mangsa) di Semenyih, Selangor.

“Arwah sempat menghubungi ibu mertua saya untuk memberitahu keluarganya sudah tiba di Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi,” katanya.

Tinjauan Bernama di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur mendapati ahli keluarga dan saudara mara mangsa berada di hospital berkenaan.

Difahamkan jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan di Jalan Pahang, di sini untuk diuruskan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Turut berada di Hospital Kuala Lumpur ialah Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamsha Injau.

 
tgk kes ni cmna..pemandu kene dakwa ke tak? atau sebab dia kakitangan kerajaan..bole lepas cmtu je
 
Klang not for human liv wN
 
Back
Top
Log in Register