hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,486
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,486
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Tiada jodoh kali ketiga, Hasnol akur hubungan dengan wanita dakwa 'kerabat diraja' berakhir
Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1990-an Hasnol memaklumkan sudah putus tunang dengan wanita berusia 40-an dikenali sebagai Z yang mengaku kerabat diraja sebuah negeri, baru-baru ini.
Hasnol atau nama sebenarnya Hasnol Hassan Ariff, 56, berkata, dia akur tiada jodoh untuk berkahwin buat kali ketiga selepas tiga tahun berkenalan dengan wanita terbabit.
"Kami tiada jodoh dan tiada rezeki untuk saya melangkah ke ambang pernikahan kali ketiga. Kami sepatutnya dijadualkan naik pelamin pada April lalu sempena tarikh hari lahir saya.
"Tapi atas sebab-sebab tertentu, ia ditunda kepada Ogos nanti. Namun dalam tempoh ini saya nampak kami tiada persefahaman, berbeza pendapat dan mungkin saya pun tak setaraf dengannya yang mengaku berstatus hebat ini," katanya kepada Harian Metro.
Hasnol yang popular menerusi lagu Lagu Ku Untuk Mu mula berkenalan dengan wanita yang berasal dari Temerloh, Pahang namun menetap di Selatan tanah air menerusi media sosial sebelum berjumpa secara langsung dengannya.
"Kami berkenalan, berkawan dan terus janji bertunang. Majlisnya pun sangat ringkas di rumah keluarga angkat pada Ogos lalu. Saya tak pernah kenal, tak pernah jumpa keluarga sebenarnya dari 'istana'.
"Bermula dari situ banyak persoalan timbul dan apabila ditanya, wanita ini gagal kawal kemarahan, emosinya meletup tiba-tiba. Tapi yang jelasnya saya tak pernah kenal dengan keluarga dia.
"Daripada mula kenal hingga bertunang dan putus, saya tak tahu dia siapa sebenarnya. Cuma dengar daripada cerita dia mengenai keluarga 'istananya'," katanya.
Katanya, banyak perkara berlaku sepanjang tempoh perhubungan mereka antaranya dia dipulaukan keluarga, anak-anak dan kawan-kawan.
"Hanya kerana saya turutkan kata-kata dia. Mungkin mereka 'nampak sesuatu' yang saya tak nampak. Mata dan minda saya tertutup.
"Saya nak pulihkan semula hubungan terutama dengan anak-anak. Begitu juga keadaan ekonomi saya yang kurang baik, merudum sekarang. Saya kena bangkit semula dalam hidup.
"Sekarang saya buat e-hailing dan busking pada hujung minggu untuk cari wang sementara dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan saya dalam bidang pemasaran," katanya.
Katanya, keadaan hidupnya semakin teruk kerana kemungkinan perlu memulangkan kereta yang dibeli akibat tidak mampu membayar ansuran bulanan serta terpaksa keluar dari kediaman untuk mencari rumah yang lebih rendah sewanya.
"Saya reda berdepan dengan kecaman netizen serta pelbagai pihak berkenaan kes saya. Saya anggap ia sebagai pengajaran dalam hidup dan ada hikmah tersembunyi.
"Barangkali Allah hantar saya untuk merungkai perbuatan wanita ini agar tiada lagi mangsa seterusnya selepas ini. Saya tak sedih dengan apa yang berlaku," katanya tenang.
Terdahulu pada 6 Oktober 2023, Hasnol bercerai dengan bekas isteri, Marina Mohin selepas 12 tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan kedua itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Haneesa Maisara yang kini berusia 15 tahun.
Hasnol juga memiliki tiga cahaya mata lain menerusi perkahwinan pertama dengan Akhmarzuraikha Salleh.
Kredit