afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Takiyuddin tiada kuasa beri surat tunjuk sebab kepada Bersatu, kata Marzuki
Bekas pegawai Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, kata Bersatu sehingga kini tidak menerima apa-apa notis daripada JPPM berhubung isu cukup kuorum MPT. (Gambar Facebook)
Marzuki Mohamad berkata setiausaha agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada JPPM berhubung perkara berkenaan kerana hanya jabatan itu mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan sah di sisi undang-undang.
“Bersatu sehingga kini tidak menerima apa-apa notis daripada JPPM berhubung isu cukup kuorum MPT Bersatu. Justeru, pada masa mesyuarat majlis tertinggi PN diadakan pada 16 Julai 2026 sehingga kini, Bersatu adalah sebuah pertubuhan yang sah dan anggota PN yang sah,” katanya di Facebook.
Marzuki mengulas dua isu iaitu aduan ahli Bersatu kepada JPPM berkaitan cukup kuorum suatu mesyuarat MPT Bersatu, dan aduan Bersatu kepada JPPM berkaitan keputusan PN tidak memanggil Bersatu ke suatu mesyuarat perundingan pada 16 Julai, berhubung PRN Negeri Sembilan.
Isu cukup kuorum
Semalam, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa beliau mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali bagi mendapatkan penjelasan berhubung aduan empat Ahli Parlimen Bersatu kepada JPPM selepas mendakwa Bersatu tidak lagi mempunyai kuorum mencukupi untuk mengadakan mesyuarat MPT.
Menurut Takiyuddin, Ahli Parlimen terbabit mengemukakan aduan itu pada 13 Julai, dan surat tunjuk sebab diberikan kepada Azmin pada 14 Julai.
Katanya lagi, Bersatu belum memberikan jawapan terhadap surat tunjuk sebab berkenaan, lapor Utusan Malaysia.
“Setiausaha agung PN tidak ada kuasa untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Bersatu berhubung aduan Ahli-ahli Parlimen Bersatu kepada JPPM mengenai cukup korum mesyuarat MPT BERSATU,” balas Marzuki.
“Setiausaha agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada JPPM bukan daripada Bersatu berhubung perkara berkenaan kerana hanya JPPM yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan adalah sah di sisi undang-undang.”
Pada 11 Julai lalu, naib presiden Bersatu yang digantung keahlian, Ronald Kiandee, menyoal sama ada MPT memenuhi kuorum untuk mengadakan mesyuarat, selepas dikatakan 27 daripada asalnya 47 ahli keluar parti, letak jawatan, dipecat atau digantung.
Kiandee, yang digantung keahlian pada Mac kerana didakwa melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menimbulkan isu ini selepas Presiden Muhyiddin Yassin berkata Bersatu masih kukuh dan utuh, walaupun beberapa ahli MPT meletak jawatan.
Kemudian, Naib Presiden Radzi Jidin berkata peletakan jawatan beberapa ahli baru-baru ini tidak menjejaskan keabsahan mesyuarat MPT kerana kehadiran memenuhi syarat kuorum.
Beliau menerangkan bilangan paling kecil bagi membolehkan mesyuarat MPT diadakan secara rasmi dan sah adalah 12 daripada 23 ahli pada masa ini, menurut perlembagaan parti yang menetapkan cukup bilang mesyuarat adalah satu per dua daripada jumlah keseluruhan ahli MPT.
Marzuki hari ini berkata MPT Bersatu menggunakan kuasa bawah fasal 27 perlembagaan Bersatu untuk mentafsirkan cukup korum mesyuarat MPT Bersatu.
“Tafsiran MPT Bersatu adalah muktamad,” katanya.
Isu Bersatu tidak dipanggil
Pada 11 Ogos lalu, JPPM memaklumkan ia menerima aduan rasmi daripada Bersatu, menyentuh dakwaan bahawa Bersatu tidak dibabitkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Julai lalu, dan isu kedudukan keanggotaan parti itu dalam PN.
Semalam, Takiyuddin mendedahkan bahawa beliau memberikan keterangan kepada JPPM susulan aduan Bersatu.
Beliau berkata Bersatu tidak dipanggil untuk perbincangan kerana kritikan parti itu terhadap PAS, dan keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri merupakan satu lagi sebab parti itu tidak dipanggil, lapor Berita Harian.
Menjawab perkara ini, Marzuki mendakwa bahawa kegagalan mengundang Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut adalah “suatu pelanggaran perlembagaan PN yang serius”.
Marzuki berkata Bersatu adalah sebuah pertubuhan yang sah, dan anggota PN yang sah, pada masa mesyuarat MT PN pada 16 Julai itu sehingga kini.
“Hal ini juga diakui oleh pengerusi PN menerusi kenyataannya kepada media pada 9 Ogos 2026,” katanya.
“Justeru, Bersatu berhak dijemput menghadiri mesyuarat majlis tertinggi PN pada 16 Julai 2026 dan kegagalan menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut adalah suatu pelanggaran perlembagaan PN yang serius.”
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar pada 9 Ogos lalu mengumumkan Bersatu adalah anggota PN walaupun terdapat laporan bahawa beberapa ahli parti mengemukakan aduan kepada JPPM mengenai keabsahan kepimpinan parti itu.