BTC USD 75,446.5 Gold USD 4,261.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Syarikat penerbangan tidak harus tanggung kos penerbangan mampan sendirian: IATA

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25

Syarikat penerbangan tidak harus tanggung kos penerbangan mampan sendirian: IATA​

screenshot-2026-07-14-110355.jpg

Ketua Kemampanan IATA Asia Pasifik, Kelvin Lee.

HONG KONG: Dengan pemulihan semula perjalanan udara antarabangsa, perhatian kini beralih kepada kesan jejak karbon industri penerbangan yang semakin meningkat.

Sektor penerbangan menyumbang kira-kira 2.5 peratus daripada pelepasan karbon dioksida (CO2) global.

IKLAN

Namun, sedang industri penerbangan berdepan dengan peraturan iklim global yang semakin ketat, syarikat-syarikat penerbangan tidak sepatutnya dijangka menanggung kos pelepasan karbon sifar bersih ini secara bersendirian. Perkara itu dinyatakan oleh ketua kemampanan bagi rantau Asia-Pasifik di Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Encik Kelvin Lee berkata pihak pemerintah, pelabur dan penumpang semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam mengurangkan pelepasan karbon sektor tersebut. Beliau turut memberi amaran bahawa dasar yang tidak dirancang dengan baik boleh meningkatkan kos tanpa mempercepatkan kemajuan yang diinginkan.

"Hakikatnya, terdapat kos yang perlu ditanggung untuk proses sifar karbon dalam sektor penerbangan," kata Encik Lee kepada Mediacorp di luar persidangan Sidang Puncak Iklim Asia di Hong Kong minggu lalu.

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat penerbangan beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat tipis, di mana syarikat-syarikat penerbangan di Asia-Pasifik hanya meraih keuntungan purata sekitar AS$3 (S$3.88) bagi setiap penumpang.

"Daripada melihatnya sebagai isu kos semata-mata, ia mungkin lebih kepada tanggungjawab bersama. Setiap pihak mempunyai peranan untuk dimainkan," tambah beliau.

IKLAN

Bermula tahun 2027, kebanyakan penerbangan antarabangsa akan tertakluk di bawah Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA), iaitu sebuah skim berasaskan pasaran global untuk mengurangkan dan mengimbangi pelepasan karbon.

Skim tersebut bertujuan untuk mencapai pelepasan sifar karbon bagi operasi syarikat penerbangan dengan menggunakan kredit karbon dan bahan api penerbangan mampan, antara inisiatif yang lain.

Encik Lee berkata keberhasilan skim ini sebahagian besarnya bergantung kepada cara pihak pemerintah melaksanakan dasar iklim tersebut.

"Apa yang penting ialah dasar pemerintah. Ini kerana jika kita mempunyai dasar yang tidak dirancang atau tidak disusun dengan betul, ia sebenarnya boleh meningkatkan kos pembersihan karbon tanpa mempercepatkan sebarang kemajuan," katanya.

SASARAN SIFAR BERSIH MENJELANG 2050

IKLAN

Syarikat-syarikat penerbangan global menetapkan matlamat bersama pada tahun 2021 untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Lapangan terbang, penyedia perkhidmatan navigasi udara dan juga pembekal bahan api turut komited terhadap ikrar berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh menyatakan bulan lalu bahawa "harapan semakin pudar" dan mencadangkan agar satu "garis masa baharu yang lebih realistik" diwujudkan.

Beliau berkata usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam penerbangan memerlukan gabungan penyelesaian daripada aspek teknikal, tenaga dan juga dasar.

Encik Lee menambah: "Penyelesaian dalam sektor penerbangan itu sendiri tidak mencukupi untuk kita mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050. Disebabkan itulah kita terpaksa bergantung kepada usaha pengimbangan dan penghapusan karbon dari luar sektor penerbangan untuk mencapai matlamat tersebut."

Beliau turut menarik perhatian bahawa pengenalan skim karbon serantau atau nasional yang berasingan boleh mengeruhkan lagi usaha pematuhan undang-undang.

IKLAN

"Apabila perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan pertindihan dan pengiraan dua kali dalam beberapa keadaan, bermakna syarikat penerbangan terpaksa membayar ganti rugi karbon sebanyak dua kali bagi penerbangan yang sama," katanya.

BEKALAN KREDIT KARBON KEKURANGAN

Satu lagi cabaran ialah bagi memastikan bekalan kredit karbon berkualiti tinggi yang mencukupi. IATA menganggarkan bahawa untuk fasa pertama CORSIA yang berlangsung dari tahun 2024 hingga 2026, syarikat-syarikat penerbangan memerlukan sekitar 200 juta Unit Pelepasan Layak (EEU) bagi memenuhi syarat pematuhan.

Syarikat-syarikat penerbangan menggunakan kredit karbon untuk mengimbangi jejak karbon mereka dengan cara membiayai inisiatif pengurangan karbon di tempat lain.

Namun, Encik Lee menganggarkan bahawa setakat ini hanya terdapat sekitar 38 juta EEU CORSIA yang tersedia, atau kira-kira seperlima sahaja daripada apa yang diperlukan oleh pasaran.

Selain kredit karbon, bahan api penerbangan mampan (SAF) dijangka memainkan peranan penting dalam membantu syarikat penerbangan memenuhi sasaran pelepasan mereka. Penggunaan bahan api ini akan mengurangkan kebergantungan kepada kredit karbon.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2.4 juta tan SAF sahaja yang akan tersedia pada tahun ini, kata Encik Lee, yang mana ia merangkumi sekitar 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan permintaan bahan api jet oleh syarikat penerbangan.

Dianggap sebagai alternatif kepada bahan api penerbangan konvensional, SAF boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan mentah sumber mampan seperti minyak masak terpakai dan sisa biojisim.

IATA menyatakan bahawa alternatif ini mampu menyumbang sehingga 65 peratus daripada pengurangan pelepasan yang diperlukan oleh syarikat penerbangan untuk mencapai pelepasan CO2 sifar bersih menjelang 2050.

Encik Lee berkata penilaian persatuan itu mendapati bahan mentah mencukupi untuk menghasilkan SAF, namun usaha mempertingkatkan teknologi dan memperluaskan pengeluaran kekal menjadi antara cabaran terbesar sektor ini.

"Asia Pasifik ialah rantau yang sangat pelbagai - kita mempunyai banyak jenis bahan mentah berbeza yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan. Apa yang perlu kita fokuskan sekarang ialah kepantasan pelaksanaan teknologi tersebut," katanya.

Badan industri itu menegaskan bahawa tindakan yang diselaraskan melibatkan tenaga boleh diperbaharui, prasarana bahan api dan sokongan dasar amat diperlukan.

 
Back
Top
Log in Register