Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Sunway Malls Perkenal Pusat Beli-belah Pintar Pertama Di Malaysia Laksana Ekosistem AI, IoT
Sunway Malls menjadi pengendali pusat beli-belah pertama di Malaysia melaksanakan ekosistem pusat beli-belah pintar (Smart Malls) bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT).
Menerusi kenyataan hari ini, Sunway Malls memaklumkan inisiatif itu menyepadukan teknologi digital di seluruh portfolio pusat beli-belahnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual, meningkatkan kecekapan pengurusan serta menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar kepada pengunjung.
Inisiatif berkenaan didorong oleh kejayaan pelaksanaan integrasi IoT di Sunway Pyramid pada 2021 dan di Sunway Square, dengan ekosistem berkenaan kini diperluas secara berperingkat ke seluruh portfolio pusat beli-belah itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Malls HC Chan menerusi kenyataan sama berkata teknologi digital akan terus menjadi pemboleh daya kritikal dan strategik bagi perniagaan dalam melangkah ke masa hadapan, sekali gus membolehkan proses membuat keputusan yang lebih pantas dan berasaskan maklumat dalam pasaran yang semakin kompetitif.
“Ketepatan masa, kejituan dan kerelavanannya membolehkan tindakan intervensi yang lebih tajam dan tuntas dalam pasaran yang kompetitif," katanya.
Menurut kenyataan itu, antara teknologi diperkenalkan ialah Pusat Operasi Bersepadu (IOC) yang berperanan sebagai pusat arahan utama yang menyepadukan aspek keselamatan, pengurusan fasiliti serta operasi proaktif di Sunway City Kuala Lumpur.
Pusat beli-belah berkenaan turut disokong dengan kesalinghubungan 5G, tandas pintar dilengkapi sistem sensor automatik, eskalator pintar berserta sensor pergerakan dan pengesanan kerosakan masa nyata, sistem kamera litar tertutup (CCTV) AI serta platform berpusat teknologi operasi runcit.
“Dengan menggantikan pemantauan manual dan proses reaktif kepada sistem automatik berasaskan data, Sunway Malls dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja secara signifikan dalam pengurusan fasiliti, di samping meningkatkan standard persekitaran yang disediakan," menurut kenyataan itu.
Selaras dengan agenda kelestariannya, Sunway Malls turut menggunakan mesin pemproses sisa makanan berasaskan mikrob dan enzim untuk menukarkan sisa makanan kepada air kelabu yang berpotensi diproses menjadi air minuman, sekali gus mengurangkan sisa pepejal serta keperluan pengumpulan sisa secara kerap.