Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Sultan Perak Berkenan Rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melihat senjata yang dipamerkan selepas baginda merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Saifuddin Nasution dalam sembah ucapannya berkata perasmian kem itu melambangkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan keupayaan pasukan keselamatan negara bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
“Kem ini membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik demi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kayu ukur Indeks Keselamatan Global (GPI) yang terbaru dikeluarkan meletakkan indeks keamanan Malaysia pada kedudukan ke-12 berbanding 163 negara di dunia dan menjadi satu kebanggaan bagi pasukan keselamatan dalam negara.
Beliau berkata sumbangan 69 Komando yang ditubuhkan sejak 1969 telah terbukti dalam pelbagai operasi penting termasuk menentang insurgensi komunis, insiden Al-Maunah pada 2000, Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 2013 serta penugasan khas negara berkaitan tragedi MH17 pada 2014.
“Selain itu, pasukan ini turut memainkan peranan penting dalam operasi membanteras keganasan, menyelamatkan tebusan dan menangani ancaman keselamatan berisiko tinggi.
“Setiap kali negara berhadapan ancaman yang menguji kedaulatan dan keselamatan, 69 Komando sentiasa berada di barisan hadapan,” katanya.