combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
SUK Melaka Datuk Azhar Arshad Dahului Penerima BSR-I Persekutuan Pengakap Malaysia
--kredit Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad mendahului senarai penerima Bintang Semangat Rimba Emas (BSR-I) pada Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) serta Penyampaian Sijil Pengakap Raja dan Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negara yang berlangsung di sini, semalam.
PPM dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan turut menerima anugerah itu ialah Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kota Jambi Kemas Faried Alfarelly, Ketua Pesuruhjaya Kebangsaan Bharat Scouts and Guides Dr Krishana Kumar Khandelwal dan Pesuruhjaya Antarabangsa National Scout Organization of Thailand Pansak Ransibrahmanakul.
Istiadat penganugerahan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan hadir sama ialah Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin serta Ahli Majlis Pengakap Negara yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.
BSR-I ialah anugerah tertinggi PPM dan dikurniakan kepada tokoh yang memberikan sumbangan luar biasa dalam memperkasakan pergerakan pengakap pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Penganugerahan yang amat terhad itu menjadikan BSR-I sebagai pengiktirafan eksklusif kerana bilangan penerima dihadkan kepada 10 orang bagi setiap penganugerahan, tidak termasuk penerima kehormat dari luar negara.
Istilah Semangat Rimba melambangkan kekuatan tradisi dan budaya yang berpaksikan latihan, kepimpinan, kesetiaan, kerja keras serta keakraban dengan alam semula jadi, mencerminkan nilai kepimpinan, keperibadian luhur dan jati diri yang menjadi teras PPM.
Selain itu, sebanyak 373 orang menerima Anugerah Bintang dan Pingat PPM termasuk 15 penerima antarabangsa dan 132 penerima Sijil Pengakap Raja sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan, pengorbanan dan sumbangan kepada pergerakan pengakap.
Sementara itu, Mohd Zin dalam kenyataan itu berkata setiap Bintang dan Pingat yang dikurniakan bukan sekadar lambang penghormatan tetapi membawa amanah besar untuk terus berbakti kepada pergerakan pengakap.
“Bintang dan Pingat yang diterima bukan sekadar tersemat di dada tetapi setiap satunya membawa kisah tentang masa yang dicurahkan, tenaga yang disumbangkan, kepakaran yang dikongsi dan bakti yang diberikan demi kemajuan pergerakan pengakap,” katanya.