combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
STAR Perkukuh Tindakan Tangani Kos Sara Hidup, Tingkat Kecekapan Penyampaian Awam
Kredit: FB Shamsul Azri Abu Bakar
Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 5 Tahun 2026 hari ini memberi penekanan kepada tindakan segera dan penyelesaian berimpak tinggi dalam menangani isu rakyat serta memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu turut memberi tumpuan kepada langkah lebih bersepadu bagi menangani cabaran kos sara hidup dan pekerjaan melalui pendekatan lebih bersasar dan berkesan.
STAR dalam kenyataan memaklumkan fokus utama adalah memastikan pelaksanaan inisiatif kerajaan dapat membantu mengurangkan tekanan kos kehidupan rakyat, memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
Mesyuarat itu juga meneliti pelaksanaan Projek Kecil CAKNA MADANI yang memberi fokus kepada penyelesaian segera terhadap keperluan asas komuniti setempat.
“Pendekatan ini membolehkan projek berskala kecil dilaksanakan secara lebih cepat dan memberi impak langsung kepada rakyat di kawasan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha memperkukuh kefahaman rakyat terhadap aspirasi Malaysia MADANI, pelaksanaan Pelan Penghayatan Malaysia MADANI turut diberi perhatian melalui pendekatan komunikasi yang lebih jelas, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai langkah memperkukuh penglibatan badan pemikir dan pakar tempatan dalam menyokong penggubalan dasar negara yang lebih berasaskan bukti, praktikal dan berorientasikan keberhasilan.
Pendekatan berkenaan dijangka dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan.
Sementara itu, bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mesyuarat turut memberi perhatian kepada pelaksanaan inisiatif Kerajaan Tanpa Kertas (paperless government) yang dijangka mempercepat urusan pentadbiran, mengurangkan penggunaan dokumen fizikal serta meningkatkan kecekapan proses kerja kerajaan secara lebih mampan dan responsif.