Seorang doktor dan jururawat menjalankan pembedahan ke atas seorang pesakit. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Langkah memperluaskan penanda aras bagi lebih banyak bayaran hospital privet dijangka dapat meningkatkan ketelusan harga dan membawa sedikit penjimatan, namun pihak berkuasa perlu melihat lebih jauh daripada kawalan harga untuk menangani punca utama peningkatan kos kesihatan, kata beberapa doktor dan pakar.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada awal bulan ini mengumumkan rancangan untuk menetapkan penanda aras tambahan bagi caj hospital privet selain yuran profesional yang sudah meliputi pakar bedah, pakar bius dan caj pesakit dalam.
ADVERTISEMENT
Bercakap dalam podcast "Deep Dive CNA", Encik Ong berkata penetapan penanda aras bagi yuran pakar bedah terbukti “agak berkesan”, dengan kebanyakan caj kini berada dalam julat yang disyorkan. Purata pertumbuhan tahunan yuran pakar bedah swasta juga merosot dengan ketara – daripada tiga peratus antara 2010 dengan 2018 kepada hanya 0.4 peratus dari 2019 hingga 2023.
Selain yuran profesional, penanda aras Kementerian Kesihatan (MOH) yang sedia ada turut merangkumi caj hospital seperti kadar bilik, kemudahan dan peralatan pembedahan serta ubat-ubatan.
MOH kini berhasrat untuk memperluaskan penanda aras kepada kos-kos lain seperti bahan pakai buang termasuk gaun hospital, meskipun Encik Ong mengakui “banyak tugasan yang perlu dilakukan” dari segi pengumpulan data dan proses perundingan memperlahankan kemajuan.
APA KESAN DARIPADA PELUASAN PENANDA ARAS?
Para pemerhati industri menjangkakan kesan bercampur-campur bagi peluasan penanda aras tersebut.
ADVERTISEMENT
Rakan kongsi dan ketua sektor penjagaan kesihatan dan sains hayat di firma perundingan Simon-Kucher, Encik Joshua Siow, berkata penanda aras tambahan akan membantu “menyusun semula harga di luar jangkaan, mengetatkan julat harga dan menjadikan bil lebih mudah dijangka serta dapat dibandingkan.”
“Purata bil mungkin turun sedikit di mana jurang (harga) kini adalah besar, sementara manfaat utama kepada pesakit adalah ketelusan dan pengurangan dari segi 'kejutan bil',” kata beliau.
“Namun perbelanjaan keseluruhan akan tetap dipacu oleh kadar penggunaan dan kerumitan kes, dan penyusunan semula kos di luar yuran profesional mungkin tidak akan memberi kesan ketara terhadap saiz bil keseluruhan bagi kebanyakan pesakit.”
Penolong Profesor Ashkar Saxena dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata kesannya mungkin berbeza-beza mengikut kumpulan pesakit.
Pesakit-pesakit yang menjalani prosedur mudah, yang sudah ditetapkan penanda aras tanpa komplikasi mungkin menikmati sedikit pengurangan bil.
ADVERTISEMENT
Namun bagi mereka yang memerlukan rawatan yang rumit atau teknologi baharu di luar penanda aras, mungkin melihat kadar caj yang lebih tinggi sekiranya pihak hospital mengalihkan kos kepada komponen-komponen tersebut, jelas Penolong Profesor Saxena dari jabatan ekonomi, Sekolah Sains Sosial NTU.
“Secara keseluruhan, penanda aras boleh memperlahankan pertumbuhan harga dan mengurangkan bil yang tidak menentu, tetapi penjimatan segera adalah berbeza-beza dan kita tidak boleh menjangkakan penurunan yuran berlaku dengan serta-merta.”
MELANGKAUI KAWALAN HARGA
Beberapa pakar menekankan bahawa penanda aras semata-mata tidak dapat menyelesaikan cabaran kos kesihatan di Singapura.
Untuk benar-benar “mengekang kenaikan kos keseluruhan”, Encik Siow berkata pihak berkuasa perlu melaksanakan strategi pelengkap seperti saringan awal dan pencegahan, penggunaan alat digital yang mengurangkan beban pentadbiran, serta model pembayaran yang “menghargai hasil rawatan, bukan jumlah perkhidmatan”.
ADVERTISEMENT
Penolong Prof Saxena menambah bahawa meskipun penanda aras adalah “alat ketelusan” yang berguna, ia perlu dilengkapi dengan pembaharuan reka bentuk insurans dan penekanan lebih besar terhadap langkah pencegahan bagi kesihatan untuk menangani “peningkatan kos yang tidak mampan”.
Cik Verlene Law dari The Reg Consultants, penyedia khidmat peraturan bagi syarikat farmaseutikal dan perubatan, mencadangkan supaya pihak berkuasa mempertimbangkan penambahan subsidi atau skim sokongan daripada sekadar menubuhkan lebih banyak penanda aras.
“Pendekatan ini menangani kemampuan secara langsung tanpa menjadikan proses penetapan penanda aras terlalu rumit,” kata beliau.
KESAN SAMPINGAN YANG TIDAK DIJANGKA
Para pakar memberi amaran bahawa peluasan penanda aras boleh membawa kesan yang tidak diingini.
Apabila julat harga diterbitkan, penyedia perkhidmatan yang kini mengenakan caj yang lebih rendah mungkin menaikkan harga kerana menganggap kadar itu boleh diterima.
“Penanda aras menjadi penanda harga dan boleh berfungsi dalam kedua-dua arah,” kata Encik Siow.
Pihak hospital pula mungkin mengurangkan kos dalam bidang yang mempunyai tanda aras sambil menaikkan caj bagi perkhidmatan yang tidak diliputi penanda aras untuk mengekalkan hasil pendapatan.
“Setiap hospital mempunyai struktur kos berbeza-beza, walaupun mereka mungkin mengikut penanda aras, pemulihan kos boleh berlaku dalam komponen lain,” kata Cik Law.
Penolong Profesor Saxena turut memberi amaran tentang kemungkinan “kompromi terhadap kualiti” jika hospital mengurangkan sumber seperti nisbah jururawat kepada pesakit demi menepati penanda aras.
“Pesakit mungkin akhirnya membayar harga nominal yang lebih rendah tetapi mendapat nilai yang lebih rendah juga,” kata beliau.
CABARAN PELAKSANAAN
Mereka yang ditemu bual oleh Mediacorp bersetuju bahawa menetapkan penanda aras yang menyeluruh adalah rumit dan memerlukan sumber yang besar.
“Pihak berkuasa memerlukan data berkualiti tinggi dan terperinci yang disesuaikan dengan jenis kes, kelas wad dan jenis kemudahan, serta definisi yang jelas supaya kos yang dibandingkan benar-benar setara,” kata Encik Siow.
Cik Law pula mengenal pasti perhubungan dan pelaksanaan konsisten antara hospital swasta sebagai cabaran utama.
Encik Siow turut menekankan bahawa penanda aras perlu dikemas kini secara berkala bagi mencerminkan inflasi dan perubahan dalam amalan perubatan, serta memberi amaran agar ia tidak digunakan dengan terlalu ketat.
IHH Healthcare Singapore, penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di negara ini, menyatakan sokongan terhadap inisiatif berkenaan.
Ketua pegawai eksekutifnya, Peter Chow, berkata data tambahan mengenai yuran hospital akan memberi “gambaran yang lebih menyeluruh” di samping data sedia ada tentang yuran profesional dan membantu memastikan kemampanan kos penjagaan kesihatan.
Hospital Raffles pula menyifatkan langkah itu sebagai “langkah positif yang memperkukuhkan usaha berterusan berhubung penanda aras bagi yuran”.
“Kami tidak menjangka sebarang cabaran besar dalam pelaksanaannya dan akan memberi sokongan penuh,” kata pengurus besarnya, Tan Hsiang Lung.
Beliau menambah bahawa hospital itu sudah beroperasi berdasarkan model amalan berkumpulan di mana para pakar dan unit mematuhi garis panduan yuran dalaman yang diselaraskan dengan penanda aras MOH.
SG perlu lihat lebih daripada harga bagi tangani kenaikan kos jagaan kesihatan
Langkah memperluaskan penanda aras bagi lebih banyak bayaran hospital privet dijangka dapat meningkatkan ketelusan harga dan membawa sedikit penjimatan, namun pihak berkuasa perlu melihat lebih jauh daripada kawalan harga untuk menangani punca utama peningkatan kos kesihatan, kata beberapa...