combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Saringan Lebih Sistematik Perlu Bagi Tangani Kekurangan Zat Besi Dalam Kalangan Kanak-kanak
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat Yeo Bee Yin menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Dumex Dugro Arena Kuat Zat Besi di IOI City Mall Putrajaya hari ini.
Malaysia perlu mengorak langkah daripada sekadar kempen kesedaran, dengan memperkenalkan saringan awal yang sistematik bagi menangani anemia kekurangan ferum atau zat besi (IDA) dalam kalangan kanak-kanak, yang telah menjejaskan seorang daripada tiga kanak-kanak di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Yeo Bee Yin berkata tahap kesedaran mengenai IDA masih rendah termasuk dalam kalangan pembuat dasar dan pihak berkepentingan kesihatan, meskipun ia boleh memberikan kesan besar terhadap perkembangan kanak-kanak.
Beliau berkata dapatan saringan yang dijalankan dalam kalangan kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah di Puchong menunjukkan kira-kira separuh penerima program berisiko mengalami kekurangan zat besi, sekali gus menunjukkan perlunya rutin saringan di seluruh negara.
“Menjadikan saringan IDA sebagai mandatori, khususnya melalui klinik dan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, boleh mengubah landskap pemakanan kanak-kanak di Malaysia.
“Ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari keadaan ini, tetapi jika saringan menjadi sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan, lebih ramai kanak-kanak dapat dikenal pasti dan dirawat lebih awal,” katanya.
Gesaan itu diketengahkan pada program Arena Generasi Kuat Zat Besi di sini hari ini, yang dianjurkan di bawah inisiatif Iron Strong Generation oleh Dumex Dugro, menghimpunkan pembuat dasar, profesional kesihatan dan penyelidik bagi menekankan keperluan intervensi lebih kukuh, termasuk saringan IDA.
Ahli Parlimen Puchong itu berkata kekurangan zat besi yang tidak dikesan boleh menyumbang kepada ketidaksamaan dalam kalangan kanak-kanak, kerana pemakanan yang tidak mencukupi pada peringkat awal tumbesaran boleh menjejaskan perkembangan kognitif, keupayaan pembelajaran dan masa depan mereka.
Beliau turut mengulangi cadangan jawatankuasa itu supaya akses kepada susu dan produk pemakanan untuk kanak-kanak dipertingkatkan, kerana pemakanan yang seimbang amat penting bagi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Danone Malaysia dan Singapura Yek Pek Kuan berkata syarikat mengambil langkah sewajarnya selepas Iron Strong Study pada 2023 mendapati seorang daripada tiga kanak-kanak Malaysia berisiko mengalami IDA, dengan 90 peratus tidak menunjukkan simptom yang jelas.