KKH, NUH terima lebih banyak kes kecederaan sukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
Bagi atlet muda yang kerap berlari dan melompat, hentakan berulang berimpak tinggi pada permukaan keras boleh menyebabkan keretakan tekanan pada bahagian tengah kaki. (Gambar: Pexels)
SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Hospital Universiti Nasional (NUH), dua hospital awam di Singapura yang menerima kes ortopedik kanak-kanak, menyatakan mereka menyaksikan peningkatan pada bilangan kecederaan sukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, walaupun tidak dapat memberikan angka khusus.
Memandangkan semakin ramai kanak-kanak di Singapura menyertai sukan dan pertandingan kompetitif pada usia muda, para pakar kesihatan bimbang kecederaan dalam kalangan atlet muda akan terus meningkat serta memberi kesan berpanjangan apabila mereka dewasa.
IKLAN
Para doktor yang ditemu bual Mediacorp berkata atlet muda berusia antara lapan hingga 15 tahun paling berisiko mengalami kecederaan kerana tempoh itu merupakan fasa pertumbuhan pesat.
Kanak-kanak dan remaja mempunyai plat pertumbuhan (epiphyseal plates), iaitu bahagian rawan khas yang terletak berhampiran hujung tulang panjang, di mana rawan baharu sentiasa terbentuk. Selepas akil baligh, plat ini mengeras menjadi tulang, membolehkan tulang memanjang.
Sementara itu, plat pertumbuhan yang masih terdiri daripada rawan lembut lebih mudah mengalami kecederaan akibat tekanan berulang kerana ia lebih lemah berbanding tulang di sekelilingnya.
Bagi sukan lasak seperti bola sepak dan ragbi, perlanggaran berimpak tinggi boleh menyebabkan keretakan pada plat pertumbuhan.
Para doktor berkata kecederaan akut yang lazim dialami atlet muda termasuk patah tulang, buku lali terseliuh, tempurung lutut terkeluar serta kecederaan pada meniskus dan ligamen krusiat anterior (ACL) di lutut.
IKLAN
Di NUH, sehingga 50 peratus remaja yang mendapatkan rawatan kali pertama di jabatan ortopedik mengalami kecederaan akut atau masalah kronik berkaitan sukan.
Seorang pemain bola sepak, Muhammad Muzammil Hairman, menjalani pembedahan pada Februari selepas mengalami koyakan ACL ketika perlawanan persahabatan. Beliau ditolak sehingga terjatuh pada lutut selepas berebut bola dengan pihak lawan.
Kemalangan itu berlaku pada Ogos 2025 ketika beliau berusia 13 tahun.
Doktornya pada mulanya mencadangkan pembedahan ditangguhkan sehingga 2027 apabila beliau berusia 15 tahun, kerana ketika itu tulangnya dijangka matang sepenuhnya dan risiko ACL koyak semula dapat dikurangkan.
Muzammil pada mulanya mengikut nasihat itu, namun selepas kira-kira enam bulan pergerakannya terbatas dan tidak dapat melakukan aktiviti fizikal termasuk berlari-lari anak, beliau memutuskan untuk menjalani pembedahan lebih awal.
IKLAN
"Sukar bergerak dengan pendakap lutut dan saya langsung tidak boleh bersenam, termasuk berlari-lari anak," kata remaja berusia 14 tahun itu.
"Saya dan ibu bapa merasakan sukar untuk terus bertahan dalam keadaan ini terlalu lama."
Selepas pembedahan, beliau terpaksa tidak hadir ke sekolah selama dua minggu dan menggunakan tongkat selama sebulan.
Beliau juga perlu menjalani fisioterapi dan pemeriksaan berkala bagi memulihkan sepenuhnya keupayaan membengkok dan meluruskan kaki.
"Saya terlepas Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG), perlawanan persahabatan dan latihan hampir setahun.
IKLAN
"Saya tidak sabar untuk kembali bermain, tetapi saya percaya proses pemulihan memerlukan masa sebelum saya dapat kembali ke tahap terbaik."
Sebelum ini, Muzammil bermain bola sepak hampir setiap hari sama ada melalui latihan sekolah atau bersama rakan-rakan. Ketika di sekolah rendah, beliau turut bermain ragbi dan mempelajari silat.
Doktor berkata semakin ramai atlet muda turut mendapatkan rawatan bagi kecederaan kronik atau kecederaan akibat penggunaan berlebihan (overuse injuries), seperti 'jumper's knee', sakit bahu dan sakit siku akibat sukan raket.
Kecederaan kronik biasanya berlaku apabila kesakitan berlarutan lebih 12 minggu.
Pakar bedah ortopedik ACME Orthopaedics, Dr Zackary Chua, berkata aktiviti berlari dan melompat secara kerap, sama ada dalam sukan lasak atau bukan bersentuhan, boleh menyebabkan masalah seperti penyakit Sever (sakit tumit) dan penyakit Osgood-Schlatter (sakit lutut).
Hentakan berulang pada permukaan keras juga boleh menyebabkan keretakan dan tekanan pada bahagian tengah kaki.
Di Milestone Physiotherapy, yang membantu atlet kembali bersukan selepas kecederaan atau pembedahan, sebahagian besar pesakit muda dirawat kerana kecederaan akibat penggunaan berlebihan.
Ahli fisioterapi muskuloskeletal dan sukan, Goh Chun Kiat, berkata ketika fasa pertumbuhan pesat, tulang kanak-kanak membesar lebih pantas daripada otot dan tendon, menyebabkan ketegangan semula jadi serta mengubah biomekanik tubuh mereka.
Keadaan itu menjadikan mereka lebih mudah mengalami kecederaan.
KANAK-KANAK TIDAK SEMESTINYA CEPAT PULIH
Jurulatih dan karyawan kesihatan berkata mereka melihat sesetengah kanak-kanak didorong hingga ke had kemampuan, bukan sahaja kerana minat terhadap sukan, malah kerana tekanan untuk menggunakan pencapaian sukan sebagai laluan memasuki sekolah pilihan.
Kejohanan NSG tahun ini mencatat penyertaan tertinggi setakat ini dengan kira-kira 69,000 atlet pelajar daripada lebih 300 sekolah bertanding dalam 29 jenis sukan, meningkat daripada 66,000 tahun lalu.
Prestasi cemerlang di NSG serta penyertaan dalam akademi sukan yang diiktiraf membantu murid Darjah Enam memasuki sekolah menengah pilihan mereka menerusi skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).
Dalam DSA Sekolah Menengah 2025, sebanyak 41,700 permohonan diterima daripada 15,700 pelajar, dengan kira-kira empat daripada setiap 10 permohonan melibatkan sukan dan permainan.
Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan walaupun minat terhadap sukan mencerminkan semangat pelajar untuk aktif, usaha mendapatkan tempat melalui DSA atau mengejar kejayaan dalam pertandingan sukan tidak seharusnya mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
MOE menambah DSA bukan laluan yang sesuai untuk semua pelajar dan ibu bapa perlu membuat keputusan bersama anak-anak dengan mengambil kira minat, kelebihan serta keupayaan sekolah membangunkan bakat mereka.
Ketua dan Perunding Kanan Jabatan Pembedahan Ortopedik serta Pusat Perubatan Sukan dan Senaman Singapura di KKH, Profesor Madya Mohammad Ashik, berkata sistem muskuloskeletal kanak-kanak yang sedang membesar masih belum matang.
Keretakan plat pertumbuhan dan kecederaan ACL boleh menyebabkan masalah jangka panjang seperti panjang kaki tidak seimbang, kecacatan sendi atau kesakitan kronik jika tidak dirawat dengan betul.
Walaupun kebanyakan patah tulang kanak-kanak pulih dengan baik, kecederaan serius atau yang berlaku berhampiran plat pertumbuhan boleh menyebabkan kecacatan tulang sehingga dewasa.
Koyakan ligamen di lutut atau buku lali juga berbeza-beza tahapnya. Ada kanak-kanak yang hanya memerlukan fisioterapi, manakala yang lain memerlukan pembedahan.
Profesor Adjung Rishi Malhotra, pakar bedah ortopedik di Bahagian Pembedahan Ortopedik Pediatrik NUH, berkata bagi kanak-kanak yang memerlukan pembedahan, tidak semuanya mampu kembali ke tahap prestasi sukan seperti sebelum ini dan ada yang mungkin mengalami masalah kesihatan berpanjangan akibat kecederaan tersebut.
Selain kesan terhadap kesihatan, Encik Goh turut mengingatkan ibu bapa yang berharap dapat mencapai potensi terbaik anak-anak dengan memaksa mereka berlatih secara intensif bahawa pendekatan sedemikian boleh memakan diri.
KKH, NUH terima lebih banyak kes kecederaan sukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
SINGAPURA: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Hospital Universiti Nasional (NUH), dua hospital awam di Singapura yang menerima kes ortopedik kanak-kanak, menyatakan mereka menyaksikan peningkatan pada bilangan kecederaan sukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, walaupun tidak...