Ladang SG boleh manfaatkan geran sekali sahaja SFA untuk tangani kenaikan kos
Ladang bandar di Singapura. (Gambar: Enterprise Singapore)
SINGAPURA: Ladang-ladang tempatan bakal menerima geran sekali sahaja bagi membantu mereka menangani kos operasi yang semakin meningkat serta mengekalkan pengeluaran di tengah-tengah ketidakpastian global yang berterusan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (31 Jul).
Bantuan ini diberikan selain daripada geran tunai sekali sahaja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Rabu, di mana pihak ladang juga layak memohonnya.
IKLAN
Jumlah bantuan di bawah geran Sokongan Daya Tahan Perniagaan Ladang yang baharu ini berbeza mengikut ladang, bergantung kepada jenis dan jumlah hasil pengeluaran mereka, menurut SFA.
Secara purata, ladang-ladang dijangka menerima bantuan sekali sahaja berjumlah antara S$4,000 hingga S$8,000 secara keseluruhan.
SFA memberitahu Mediacorp bahawa jumlah bantuan itu ditetapkan berdasarkan penilaian terhadap tekanan kos yang dihadapi oleh sektor agromakanan tempatan.
Ia bertujuan untuk membantu pihak ladang memperkukuh daya tahan perniagaan dan operasi mereka.
Ladang yang layak merangkumi pengeluar sayur-sayuran berdaun, sayur-sayuran berbuah, cendawan, taugeh, telur ayam, dan makanan laut.
IKLAN
Pihak ladang mestilah menyumbang kepada pengeluaran tempatan bagi sumber serat atau protein.
Geran ini di bawah Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan, yang bertujuan membantu ladang tempatan yang berlesen dengan SFA menjadi lebih produktif, berdaya tahan daripada perubahan iklim, dan cekap sumber.
SFA menyatakan ladang tempatan merupakan bahagian penting dalam keterjaminan makanan Singapura kerana ia membekalkan protein dan serat buatan tempatan.
Agensi itu turut mengulangi bahawa konflik di Timur Tengah meningkatkan kos tenaga dan tambang kargo, sekali gus menambah cabaran sedia ada seperti kos tenaga kerja.
"Adalah penting agar tekanan jangka pendek ini tidak menjejaskan kapasiti pengeluaran tempatan yang dibangunkan dengan susah payah oleh Singapura," menurut SFA.
IKLAN
"Pemerintah kekal komited untuk menyokong ladang tempatan sebagai bahagian utama dalam strategi keterjaminan makanan yang lebih luas, dan akan terus bekerjasama dengan sektor ini menerusi langkah-langkah praktikal bagi memperkukuh daya tahan, menguruskan tekanan perniagaan, serta mengekalkan pengeluaran tempatan."
Sasaran baharu sudah ditetapkan pada November 2025 untuk ladang tempatan membekalkan 20 peratus daripada penggunaan serat tempatan dan 30 peratus daripada penggunaan protein tempatan menjelang tahun 2035.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Mei tahun ini, sektor agromakanan tempatan Singapura menyumbang sekitar 8 peratus daripada penggunaan serat tempatan dan 25 peratus daripada penggunaan protein tempatan pada tahun 2025.
Ladang yang memohon geran ini mestilah memegang lesen ladang yang sah setakat 1 Ogos. SFA menyatakan pihaknya akan menghubungi ladang yang layak pada bulan Ogos untuk memberikan maklumat lanjut.
Pihak Mediacorp sudah bertanyakan kepada SFA mengenai jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan bagi geran tersebut.
Ladang SG boleh manfaatkan geran sekali sahaja SFA untuk tangani kenaikan kos
SINGAPURA: Ladang-ladang tempatan bakal menerima geran sekali sahaja bagi membantu mereka menangani kos operasi yang semakin meningkat serta mengekalkan pengeluaran di tengah-tengah ketidakpastian global yang berterusan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (31 Jul). Bantuan ini...