SG perkenal garis panduan 'label kandungan' chatbot AI generatif
Seorang individu menggunakan chatbot AI. (Gambar fail: iStock/hxyume)
SINGAPURA: "Label kandungan" bagi chatbot kecerdasan buatan generatif (GenAI) mungkin tidak lama lagi menjadi lebih lazim, selepas Singapura memperkenalkan garis panduan secara sukarela bagi platform sedemikian pada Isnin (20 Jul).
Garis panduan baharu itu menggalakkan syarikat-syarikat untuk menyediakan kad maklumat bagi chatbot GenAI mereka, yang boleh disediakan dalam pelbagai bentuk seperti halaman maklumat khusus atau dokumen pendedahan.
IKLAN
"Seperti label kandungan atau label ubat, ia menyediakan satu tempat khusus dan bersepadu untuk pengguna mendapatkan maklumat penting mengenai chatbot yang mereka gunakan," menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan media.
Dalam kalangan aplikasi GenAI, chatbot merupakan aplikasi yang paling kerap digunakan oleh orang ramai, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo ketika mengumumkan garis panduan tersebut di Festival Data Singapura.
Orang ramai menggunakan aplikasi tersebut tetapi mungkin tidak mengetahui batasannya atau bagaimana data mereka digunakan, kata beliau. Cik Teo menarik perhatian, maklumat tersebut biasanya sudah tersedia, tetapi bertaburan dalam terma perkhidmatan dan notis privasi.
"Label itu tidak memberitahu kita setiap perincian saintifik. Sebaliknya, ia memberikan maklumat penting. Apakah kegunaan 'ubat' itu, bagaimana untuk mengambilnya, berapa banyak jumlah yang disyorkan, apakah kesan sampingan yang perlu diberi perhatian dan bila ia tidak seharusnya digunakan," kata Cik Teo.
"Kami bermula dengan rangka kerja sukarela dan akan memperhalusinya dengan mengambil kira pandangan industri sedang amalan tersebut terus berkembang."
IKLAN
Menurut IMDA, kad maklumat itu haruslah relevan, mudah diakses dan disediakan tepat pada masanya. Ia harus menjawab soalan-soalan yang benar-benar penting bagi para pengguna – perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan chatbot, tahap kebolehpercayaan dan keselamatannya, bagaimana data pengguna dikendalikan serta cara untuk mengemukakan kebimbangan atau melaporkan masalah.
Maklumat itu juga harus disampaikan dalam bahasa yang mudah untuk difahami, mudah dicari dan dilayari serta sentiasa dikemas kini, tambahnya.
"Dengan chatbot GenAI semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, ketelusan amat penting kerana ia membolehkan para pengguna memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan aplikasi tersebut serta bagaimana risiko utama diuruskan," menurut IMDA.
Walaupun garis panduan itu bersifat sukarela, beberapa pertubuhan sudah menyatakan hasrat untuk merujuk kepadanya bagi memperkukuh amalan ketelusan chatbot yang digunakan orang ramai dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, menurut pihak berkuasa itu.
Sektor awam akan menjadi contoh, dengan agensi-agensi termasuk Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merancang untuk melakukan perkara yang sama.
IKLAN
Syarikat-syarikat termasuk DBS, Google, Meta, OCBC dan Singapore Airlines juga akan merujuk kepada garis panduan tersebut sedang mereka terus meningkatkan ketelusan chatbot masing-masing, kata Cik Teo.
MENGGUNAKAN DATA UNTUK MEMBANGUNKAN GEN-AI
Cik Teo turut mengumumkan nasihat bagi garis panduan baharu berhubung cara pertubuhan mengumpul dan menggunakan data peribadi secara bertanggungjawab bagi membangunkan GenAI.
"Kita ambil contoh, sebuah pasukan khidmat pelanggan yang mahu menambah baik model GenAI menggunakan rakaman panggilan supaya mereka dapat menjawab pertanyaan pelanggan dengan cepat dan tepat. Kita semua pernah menerima panggilan sedemikian dan dimaklumkan bahawa panggilan itu mungkin dirakam bagi tujuan pemeriksaan dan peningkatan mutu.
"Namun, kita juga tahu rakaman itu mungkin mengandungi data peribadi, seperti nama, alamat dan butiran bil kita," kata beliau. "Apakah tanggungjawab pasukan khidmat pelanggan itu terhadap pelanggan sebelum menggunakan data mereka untuk melatih model?"
IKLAN
Dengan semakin banyak pertubuhan menggabungkan GenAI dalam pekerjaan mereka, IMDA berkata ia adalah penting untuk menjelaskan bagaimana Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) terpakai – khususnya berkaitan pengumpulan data daripada laman web dan penggunaan semula data yang pada asalnya dikumpulkan bagi tujuan bukan GenAI.
Pertubuhan yang membangunkan model GenAI boleh mengumpulkan data peribadi yang boleh diakses orang ramai daripada laman web tanpa mendapatkan persetujuan, menurut IMDA.
Namun, jika data itu berada di sebalik sekatan digital seperti tembok bayaran atau keperluan pendaftaran, pertubuhan perlu menilai sama ada ia masih boleh dianggap sebagai "tersedia untuk orang ramai". Jika tidak, dan tiada pengecualian lain yang terpakai, persetujuan perlu diperolehi.
Pertubuhan sememangnya perlu mendapatkan persetujuan untuk memproses data peribadi, termasuk memaklumkan individu mengenai sebab data mereka dikumpulkan. Garis panduan baharu itu menjelaskan bahawa pemberitahuan tersebut kini perlu menyatakan secara khusus jika data peribadi akan digunakan untuk pembangunan GenAI – kenyataan umum seperti "memperibadikan perkhidmatan" atau "pembangunan produk" tidak lagi mencukupi, menurut IMDA.
Pertubuhan juga harus menjelaskan data yang akan digunakan, tujuan penggunaannya serta bagaimana para individu boleh menolak atau menarik balik persetujuan mereka.
Menggunakan contoh khidmat pelanggan tersebut, Cik Teo berkata syarikat-syarikat boleh mengemas kini dasar privasinya untuk menyatakan bahawa rakaman panggilan pelanggan yang memberikan persetujuan akan digunakan untuk melatih dan menambah baik model AI.
Skrip kakitangan untuk mendapatkan persetujuan juga boleh dikemas kini, tambah beliau.
Banyak pertubuhan sudah menyediakan notis khusus berkaitan AI yang serupa pada masa ini. Atas sebab itu, garis panduan tersebut diperluaskan lagi, kata Cik Teo, dengan merangkumi peranan dan tanggungjawab pihak-pihak di seluruh rantaian nilai AI dan juga usaha yang wajar dilakukan apabila menggunakan data yang tersedia untuk orang ramai.
"Dengan penjelasan yang lebih baik mengenai bagaimana keperluan sedia ada terpakai bagi GenAI, syarikat-syarikat boleh merangka proses yang lebih baik dengan langkah perlindungan yang sewajarnya."
Individu juga boleh meminta untuk mengakses atau membetulkan data peribadi mereka walaupun selepas data tersebut digunakan untuk membangunkan model GenAI, menurut garis panduan itu.
IMDA mengakui perkara itu mungkin sukar dilakukan memandangkan jumlah data yang terlibat dan mengesyorkan pertubuhan mengamalkan langkah seperti pengurusan data pada peringkat awal, menilai permintaan berdasarkan setiap kes dan melaksanakan kaedah penjejakan dan langkah teknikal yang sewajarnya.
SG perkenal garis panduan 'label kandungan' chatbot AI generatif
SINGAPURA: "Label kandungan" bagi chatbot kecerdasan buatan generatif (GenAI) mungkin tidak lama lagi menjadi lebih lazim, selepas Singapura memperkenalkan garis panduan secara sukarela bagi platform sedemikian pada Isnin (20 Jul). Garis panduan baharu itu menggalakkan syarikat-syarikat untuk...