SG lancar skim S$48 juta bantu syarikat media cipta kandungan digital, terapkan AI
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Karyawan media akan diberi sokongan untuk mencipta kandungan digital di bawah program baharu bernilai S$48 juta, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Khamis (18 Jun).
Program Pembangunan Keupayaan dan Kandungan Digital (DCCD) yang diumumkan oleh Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How, akan berlangsung selama empat tahun.
IKLAN
Lebih 87 peratus penduduk di Singapura berusia 15 tahun ke atas mengakses laman media sosial utama seperti TikTok, YouTube dan Facebook setiap minggu, menandakan peralihan dalam tingkah laku pengguna tempatan terhadap platform digital, menurut IMDA.
Program itu bertujuan menyokong karyawan media dalam memberi respons kepada peralihan itu melalui dua tunggak utama iaitu: Pembangunan kandungan digital dan pembangunan keupayaan.
Pembangunan kandungan digital menyokong penciptaan dan pengedaran kandungan yang mencerminkan bagaimana pengguna tempatan mencungkil dan berinteraksi dengan kisah-kisah di platform sosial, wadah digital dan format mudah alih dahulu.
"Ini termasuk menyokong kisah Singapura yang sesuai dengan belia, golongan dewasa dan warga emas melalui format dan naratif yang relevan," menurut IMDA.
Pembangunan keupayaan menyasarkan inovasi dalam penceritaan digital, format dan teknologi baharu serta pendekatan penerbitan, termasuk kandungan dihasilkan oleh kecerdasan buatan dan aksi langsung dalam bentuk pendek dan kandungan episod animasi.
IKLAN
"Ia juga akan memupuk percubaan dan penggunaan aliran kerja dibantu AI untuk pembangunan kandungan, penerbitan dan penyetempatan," menurut IMDA.
"Ini akan membolehkan karyawan media untuk menumpukan lebih banyak masa terhadap aspek-aspek kreatif seperti arahan kreatif, penceritaan dan rekaan naratif serta pembangunan perniagaan."
Untuk menyertai program DCCD, syarikat-syarikat media akan mengambil bahagian dalam latihan pentauliahan yang akan menilai keupayaan pembangunan kandungan sedia ada dan prestasi mereka.
Latihan pentauliahan diadakan dua kali setahun dan syarikat-syarikat bertauliah layak mengambil bahagian dalam seruan cadangan.
Dalam latihan pertama, 117 syarikat diberi pentaulihan, dengan seruan pertama bagi saranan dilancarkan pada 18 Jun dan berlangsung sehingga 31 Julai.
IKLAN
Karyawan media juga boleh memupuk kemahiran AI mereka di bawah Program Impak AI Nasional yang dilancarkan pada awal tahun ini, untuk meningkatkan penciptaan kandungan dan menyelaraskan bahagian proses penerbitan yang berulang, menurut IMDA.
IMDA menyasarkan untuk melatih 100,000 karyawan bukan teknologi di merata industri supaya "celik AI" sepanjang tiga tahun akan datang.
Karyawan yang layak boleh menggunakan kredit SkillsFuture bagi mengikuti kursus-kursus di bawah program itu.
Anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) boleh memanfaatkan program bantuan latihan kesatuan bagi mendapatkan sokongan tambahan.
SG lancar skim S$48 juta bantu syarikat media cipta kandungan digital, terapkan AI
Karyawan media akan diberi sokongan untuk mencipta kandungan digital di bawah program baharu bernilai S$48 juta, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Khamis (18 Jun).