SG akan buka sektor terpilih kepada pekerja Timor-Leste tahun depan: PM Wong
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong (kiri) dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao di Istana Pemerintah di Dili, Timor-Leste, pada 3 Julai 2026. (Gambar: CNA/Justin Ong)
DILI: Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada Jumaat (3 Jul) bahawa Singapura akan membuka sektor-sektor dan pekerjaan terpilih kepada para pekerja dari Timor-Leste mulai tahun depan.
"Langkah ini akan membuka peluang baharu kepada rakyat Timor-Leste, di samping mengukuhkan hubungan perniagaan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," kata PM Wong semasa sidang media bersama Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao di Dili.
IKLAN
Lawatan itu, yang merupakan lawatan pertama oleh seorang Perdana Menteri Singapura ke negara tersebut, diadakan setahun selepas Timor-Leste menjadi anggota penuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
PM Wong turut menggariskan beberapa bidang kerjasama yang boleh dipertingkatkan oleh kedua-dua negara ke "peringkat seterusnya".
Selain itu, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Bendito dos Santos Freitas akan mewujudkan "mekanisme rundingan berkala" bagi membincangkan perkembangan dua hala, serantau dan antarabangsa, sekali gus menyediakan "platform penyelarasan yang lebih rapat" antara kedua-dua pemerintah, kata PM Wong.
Singapura juga akan terus menyokong usaha Timor-Leste untuk terus disepadukan dalam ASEAN.
"Setelah Timor-Leste menyertai ASEAN, keutamaan seterusnya ialah memastikan negara itu dapat menyumbang sepenuhnya kepada pertubuhan tersebut dan bersedia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2029," kata PM Wong.
IKLAN
Timor-Leste turut menyatakan kesediaannya menjadi tuan rumah Sidang Puncak ASEAN 2029.
Pakej Sokongan Kesediaan ASEAN Singapura-Timor-Leste (eSTARS), yang dilancarkan semasa lawatan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao ke Singapura pada tahun lalu, akan diperluaskan dengan memasukkan lebih banyak program berkaitan ASEAN.
PM Wong berkata Singapura akan menganjurkan bengkel-bengkel khas mengenai tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk para pegawai di Dili. Singapura juga mengalu-alukan penempatan pegawai Timor-Leste bersama pasukan Pengerusi ASEAN Singapura pada tahun depan.
Dari segi ekonomi, Singapura kekal sebagai antara pelabur terbesar di Timor-Leste, dengan syarikat-syarikat Singapura meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai sektor, yang daripada perdagangan borong hingga tenaga boleh diperbaharui.
"Pelaburan ini mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap masa depan Timor-Leste," kata beliau.
IKLAN
"Dengan bekerjasama, kita dapat mewujudkan peluang perniagaan baharu, menyokong kepelbagaian ekonomi dan menjana pertumbuhan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara."
Singapura juga akan memperkukuh kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan bagi menyokong pembangunan keupayaan dan tenaga kerja di Timor-Leste.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Kementerian Kesihatan Timor-Leste merancang untuk menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) lewat bulan ini yang meliputi pembangunan tenaga kerja kesihatan serta keupayaan kesihatan awam.
Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam bidang pendidikan bagi membangunkan barisan pemimpin sekolah yang dapat membentuk generasi akan datang di Timor-Leste, kata PM Wong.
Menurut beliau, hubungan dua hala antara kedua-dua negara semakin berkembang.
IKLAN
Singapura membuka kedutaan tetapnya di Dili pada 2024 dan melantik duta tetap pertama, Cik Teo Lay Cheng, awal tahun ini.
Menurut PM Wong, kedua-dua perkembangan itu merupakan pencapaian penting yang mencerminkan komitmen Singapura untuk menjalin kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh dengan Timor-Leste.
SG akan buka sektor terpilih kepada pekerja Timor-Leste tahun depan: PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada Jumaat (3 Jul) bahawa Singapura akan membuka sektor-sektor dan pekerjaan terpilih kepada para pekerja dari Timor-Leste mulai tahun depan.