PM Wong terima penghormatan tertinggi atas sumbangan SG kepada pembangunan Timor-Leste
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menerima penghormatan tertinggi daripada Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta pada 3 Julai 2026. (Gambar: CNA)
DILI: Perdana Menteri Lawrence Wong dianugerahi penghormatan tertinggi Timor-Leste pada Jumaat (3 Jul) oleh Presiden José Ramos-Horta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke negara itu.
PM Wong menerima Darjah Kebesaran Timor-Leste dalam satu upacara di Istana Presiden di Dili sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Singapura kepada pembangunan Timor-Leste serta sokongannya terhadap penyertaan negara itu dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
IKLAN
Anugerah tersebut diberikan kepada rakyat Timor-Leste dan warga asing yang telah memberi sumbangan besar kepada negara tersebut.
PM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau menerima anugerah itu "bukan sebagai seorang individu, tetapi bagi pihak Singapura dan rakyat Singapura yang telah menyumbang kepada persahabatan antara kedua-dua negara."
"Anugerah ini adalah milik mereka yang telah berkhidmat di sini selama bertahun-tahun, menjalankan latihan, berkongsi kepakaran profesional, membangunkan keupayaan serta hidup dan bekerja bersama rakan-rakan kami di Timor-Leste dalam usaha membina negara ini," kata beliau dalam ucapannya semasa menerima anugerah tersebut.
"Kami amat berterima kasih kepada rakyat Timor-Leste yang telah menyambut rakyat Singapura dengan penuh persahabatan, kemurahan hati dan kebaikan."
Menurut PM Wong, anugerah itu mencerminkan hubungan erat yang sudah terjalin sejak sebelum Timor-Leste mencapai kemerdekaannya pada 2002.
IKLAN
Lebih 1,000 rakyat Singapura telah menyertai usaha pengaman antarabangsa antara 1999 hingga 2012 ketika negara itu melalui proses peralihan ke arah keamanan dan kestabilan.
PM Wong berkata beliau turut menegaskan semula komitmen Singapura untuk membantu membangunkan modal insan Timor-Leste dalam perbincangannya dengan Dr Ramos-Horta, sambil menyifatkan negara itu sebagai sebuah negara muda, penuh bertenaga dan berpotensi.
"Setibanya saya di sini semalam, saya amat tersentuh dengan semangat dan tekad golongan muda Timor-Leste," kata PM Wong.
"Semangat dan tekad belia Timor-Leste bukan sahaja akan memacu negara ini mencapai matlamat pembangunannya, malah akan menyuntik nafas baharu kepada rantau ini serta menjadikan ASEAN lebih dinamik."
PM Wong terima penghormatan tertinggi atas sumbangan SG kepada pembangunan Timor-Leste
Perdana Menteri Lawrence Wong dianugerahi penghormatan tertinggi Timor-Leste pada Jumaat (3 Jul) oleh Presiden José Ramos-Horta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke negara itu.