BTC USD 81,719.4 Gold USD 4,105.35
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

RM20,000 jadi rebutan takraw Piala Raja Libas

KUALA LUMPUR - Hadiah keseluruhan sehingga RM20,000 menjadi rebutan pada Piala Raja Libas 2011 Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Antara Regu 1Malaysia bermula 11 hingga 14 Julai depan di Stadium Titiwangsa, di sini.

Kejohanan tersebut dianjurkan MDAG Marketing dengan kerjasama Gajah Emas Industries Sdn. Bhd., Southern Rubber Works (Pallas) serta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan (PERSEWIP).

Pengarah Urusan MDAG, Mohamed Azlan Ghazali dalam sidang akhbar kelmarin berkata: "Kami menyedari pentingnya memelihara sesuatu yang dilabel sebagai warisan pusaka bangsa khususnya dalam sukan sepak takraw, jadi kejohanan ini adalah satu usaha memartabatkan warisan miliki kita,".

Jelasnya, kejohanan empat hari itu yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan akan menggunakan format liga satu pusingan pada peringkat awal, diikuti format kalah mati pada pusingan kedua.

"Ia terbuka kepada pemain yang berusia 15 tahun ke atas tanpa mengira bangsa dengan harapan dapat membantu membangunkan sukan sepak takraw, seterusnya mengembalikan kegemilangan sukan ini.

"Kejohanan ini juga dianjurkan untuk mempromosikan filem 'Raja Libas', yang bakal ditayangkan pada September depan.

"Filem ini menampilkan pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Scha Al-Yahya dan Johan Raja Lawak dan akan ditayangkan di pawagam pada 29 September ini," katanya.

Setiap pasukan boleh mendaftar seberapa banyak regu tetapi pihak penganjur akan memberi keutamaan kepada regu yang mendaftar awal dengan sasaran penyertaan antara 80 hingga 120 regu.

"Kami sentiasa memikirkan cara untuk mengembalikan semula era kegemilangan sukan ini terutama dalam bidang pembangunan sukan," katanya.
 
Saingan diheret ke larut malam

ALOR SETAR - Kehangatan Kejohanan Sepak Takraw KFC- Utusan 2011 peringkat zon utara bermula semalam dengan 110 regu bersaing memburu kejuaraan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Sebanyak 55 regu berentap bagi kategori Lelaki Terbuka, Lelaki IPTA/IPTS/Bawah 19 (23 regu) dan 32 regu bagi kategori Lelaki Bawah 15.

Aksi sengit dan jumlah penyertaan yang tinggi menyaksikan peringkat saringan semalam yang bermula seawal pukul 8.30 pagi berlarutan sehingga lewat malam bagi mencari empat regu terbaik ke separuh akhir bagi kategori Terbuka Lelaki, di lokasi sama hari ini.

Antara pasukan yang diramal mampu mara ke peringkat itu ialah ATM JLJ yang mempertaruhkan empat regu dan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah/Leman Corner (PKNK/LC) yang dibimbing oleh bekas apit kiri handalan negara, Abd. Malik Samsudin.

Jurulatih ATM JLJ, Shamsul Nizam Abdul Khalid berkata, mereka menyasarkan sekurang-kurangnya satu regu akan mara ke separuh akhir berdasarkan pencapaian mereka yang muncul naib juara Kejohanan KFC-Utusan edisi tahun lalu dengan menggunakan nama JLJ Taiping.

Katanya, para pemain telah melakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapi saingan kali ini termasuk berlatih dua kali sehari dan menguatkan mental menjelang kejohanan.

"Tahun lepas kami tewas pada perlawanan akhir kepada regu PKNS A. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menebus kekecewaan itu dengan sandaran utama diletakkan di atas bahu regu ATM JLJ C," katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, kategori Lelaki IPTA/IPTS/Bawah 19 pula menyaksikan empat pasukan mengesahkan tempat di separuh akhir hari ini iaitu MSNK utara yang akan menentang Unimap manakala SMK Guar Chempedak B bertemu Singa GPMS.

Bagi kategori Lelaki Bawah 15, setakat pukul 10 malam semalam, satu regu telah menempah slot di peringkat separuh akhir iaitu SM Gunung Rapat A.

Juara, naib juara serta pasukan tempat ketiga dan keempat akan melayakkan diri ke cabaran peringkat kebangsaan, September ini.

Juara dan naib juara peringkat zon bakal membawa pulang RM1,000 hingga RM2,500, manakala RM10,000 hingga RM400 setiap regu disediakan bagi juara hingga tempat kelapan di peringkat kebangsaan nanti.
 
KFC-Utusan julang takraw negara

ALOR SETAR- Pelbagai pihak memuji penganjur Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2011 yang berusaha membantu menyemarakkan kembali sukan tradisi sepak takraw di negara ini.

Sambil melihat penganjuran kejohanan yang dipelopori akhbar Utusan Malaysia dan KFC Holdings (Malaysia) Bhd. itu mampu menyumbang kepada kegemilangan sepak takraw, mereka juga yakin ia menjadi medan terbaik kemunculan bakat sukan itu.

Bekas pemain kebangsaan, Mohd. Zahir Awang berkata, kesungguhan pihak penganjur menjayakan kejohanan itu wajar dipuji kerana mengambil inisiatif membawa sukan itu ke persada lebih tinggi.

Katanya, sukan tersebut yang dekat dengan budaya bangsa Melayu, perlu dipertahan dan dimeriahkan supaya ia kembali popular khususnya di kalangan generasi muda.

Beliau yang kini melatih pasukan Majlis Sukan Negeri Kedah berkata, ketika zaman kegemilangan sukan itu, Malaysia cukup digeruni dan dihormati lawan.

"Penganjuran kejohanan seumpama ini merupakan langkah yang baik untuk 'menyegarkan' sukan ini di negara ini," katanya.

Seorang peminat dari Jitra, Noryunalisa Roslan, 24, berkata, penganjuran kejohanan dapat mencungkil bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

Sehubungan itu, katanya, penganjur wajar menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan dengan semua pihak perlu memberikan sokongan.

"Saya berharap lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan," katanya

Peserta yang mewakili Sekolah Menengah Guar Chempedak, Ku Mohd. Nazmi Ku Ismail, 16, berkata, penyertaan dalam kejohanan berkenaan membuka ruang baginya untuk mendapat pendedahan dalam sukan sepaktakraw.

"Inilah peluang terbaik untuk mengutip pengalaman kerana kejohanan ini menghimpunkan tiga kategori sekali gus yang 'berkampung' di satu tempat,'' katanya.

Penolong Pegawai Tadbir Majlis Banda Raya Alor Setar (MBAS), Azizah Hamid, menyifatkan penyertaan yang besar sehingga melebihi 100 regu merupakan kejayaan kepada penganjur.

"MBAS akan terus menyokong kejohanan ini yang selaras dengan apa yang digariskan dalam Agenda Tempatan 21, yang berkehendakkan pihak berkuasa tempatan menyediakan aktiviti yang boleh mengeratkan masyarakat," katanya.
 
2 jurulatih Thailand bantu skuad sepak takraw

ALOR GAJAH - Malaysia menggunakan khidmat dua jurulatih dari Thailand bagi melatih skuad sepak takraw negara untuk beraksi pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 21 hingga 24 Julai ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, khidmat jurulatih itu diperlukan bagi melengkapkan persiapan menghadapi pasukan lebih mantap yang turut menyertai kejohanan kali pertama tersebut.

Tanpa menamakan jurulatih berkenaan, Razali berharap pasukan negara mampu beraksi cemerlang sekali gus mengungguli kejohanan berprestij itu.

"Kita perlu memanfaatkan peluang sebagai tuan rumah kejohanan kali pertama ini untuk muncul juara kerana di samping perlu membuktikan bahawa kita mampu menjadi penganjur yang baik, skuad negara yang diterajui Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) juga perlu melakar sejarah menjadi pasukan pertama bergelar juara pada kejohanan sulung itu.

"Semua negara mempunyai peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan tidak ada sebab skuad negara gagal melakukannya. Melalui kejohanan ini, sukan sepak takraw akan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi dan tidak akan ada lagi persepsi yang mengatakan bahawa hanya negara tertentu saja mendominasi acara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw (Antara Regu), Bola Jaring Tertutup Peringkat Parlimen Alor Gajah 2011 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka di Lendu, Alor Gajah, semalam.

Sebelum ini, jurulatih negara, Jamaluddin Hassan mengesahkan skuad elit membawa dua perunding Thailand yang dilantik membantu merencana program latihan mereka iaitu Prawet Intar dan Taweet Wongkaen ke Bangkok sesudah mereka bergelar naib juara Piala Datuk Bandar Hatyai.

Latihan bersama perunding berkenaan diteruskan di Bukit Jalil dan tumpuan diberikan bagi membaiki sebarang kelemahan yang sudah dikenal pasti di Hatyai, Beijing dan Bangkok pada kejohanan sebelum ini.

Sebanyak 36 pasukan dari 24 negara mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu.
 
10hb Julai 2011 tertutup Jempol(N.Sembiln)
di Dewan Pejabat Daerah Jempol heheh,..
Pendaftaran RM30>> Hadiah Rm400>>300>>250>>100
kok ado yg bermukim/bermastautin kek daerah nih leh la masuk kalau nak..
 
dah ado persatuan kono la buek..kang bebudak memokak lak..hahahah
 
Skuad wanita Kemboja sedia ganti Laos

KUALA LUMPUR - Kemboja menyelamatkan jadual yang mungkin terpaksa dirombak penganjur Sepak Takraw Piala Dunia 2011 dengan kesediaannya menghantar pasukan wanita di samping lelaki bagi menggantikan Laos, yang terpaksa menolak penyertaan pada saat akhir.

Dikatakan banyak dipengaruhi faktor siaran langsung yang ditempah stesen MyTV (CTN), Kemboja kini akan tampil dalam kejohanan dari 21 hingga 24 Julai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu dengan tujuh pemain dan seorang pegawai.

Laos terpaksa menarik diri walaupun pada mulanya berjanji untuk menghantar sebuah pasukan wanita sahaja bagi menggenapkan 12 negara peserta kategori itu seperti yang disasarkan penganjur, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, penolakan Laos, naib juara antara regu lelaki Sukan SEA 2009 adalah disebabkan persatuan sepak takraw negara itu sudah pun dibubarkan dan tiada lagi pegawai yang mampu menyelia penghantaran sebarang pasukan ke luar negara.

"Tanpa Laos, Kemboja sanggup menjadi penggantinya sekali gus akan mengambil bahagian dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita Piala Dunia Pertama ini," katanya, yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kategori wanita Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 bakal turut disertai tuan rumah Malaysia yang dibimbing Md. Fikri Md. Nor; Thailand, Vietnam, Myanmar, China, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan, Filipina dan Indonesia dengan ganjaran juaranya ialah AS$4,000 (RM12,000).

Thailand yang seperti biasa di bawah bimbingan bekas pelibas era 80-an, Veeras Na Nongkhai, diramal akan terus menjadi pilihan utama kategori ini apatah lagi mereka menjuarai acara berpasukan dan antara regu Sukan Asia Guangzhou, November lalu.

Piala Dunia 2011 bagaimanapun hanya berformat antara regu malah agak mengejutkan apabila negara Gajah Putih itu membuat keputusan untuk tidak menghantar pelibas utama wanitanya, Tidawan Daosakul yang berpengalaman dalam beberapa Sukan SEA dan Asia lalu.

Skuad Kemboja: Chin Sovvanarith, Ream Sophearom, Heng Rawuth, Ung Narith, Chhuon Leng (lelaki), Nguon Chanboramey, San Sopheap, Chea Srey Meas (wanita).
 
Back
Top
Log in Register