BTC USD 83,337.4 Gold USD 4,148.55
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sepak Takraw

23hb julai 2011>> venue : bdr sri jempol,negeri sembilan
status: open satu state
hadiah: rm500/400/300/200
yuran : rm40

pertanyaan pm den..tq
 
24hb julai 2011>> venue : kg air hitam, jempol negeri sembilan
status: bakat baru sahaja
hadiah: rm500/400/300/200
yuran : rm50

pertanyaan pm den gak heheh..tq.
 
Raja Libas tak kacau Piala Dunia

Edisi pertama itu terima sambutan hangat kerana pelancaran filem Libas

KEJOHANAN Sepak Takraw Antara Regu 1Malaysia bagi merebut Piala Raja Libas yang membuka tirainya di Stadium Titiwangsa semalam, tidak mengganggu persiapan kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) 2011 yang turut berlangsung di gelanggang sama, 21 Julai nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahya berkata, jarak waktu seminggu selepas Piala Raja Libas boleh digunakan sepenuhnya sebagai persiapan menghadapi kejohanan sulung peringkat dunia itu.

“Sama sekali tidak mengganggu kelancaran Piala Dunia 21 Julai ini. Di sini kami akan menggunakan gelanggang baru berwarna merah bagi menggantikan gelanggang lama (hijau).

“Di kejohanan dunia nanti, kami juga akan menggunakan sistem kiraan baru iaitu tiga kali servis sebagai peringkat akhir mencuba sistem ini di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Piala Raja Libas, di Stadium Titiwangsa, semalam.

Walaupun senarai regu bagi kejohanan Raja Libas agak tersasar apabila hanya 24 regu menyertainya, Arshad optimis kejohanan edisi pertama itu bakal menerima sambutan hangat kerana dianjurkan bersempena pelancaran filem Libas, 29 September nanti yang dibintangi Rosyam Nor dan Scha Al-Yahya.

“Jika dulu sepak takraw dikatakan sukan lesu tetapi kini saya lihat ia sudah berubah di mana empat kejohanan dianjurkan di seluruh negara sepanjang Julai ini termasuk Piala Dunia ISTAF.

“Saya menyanjung tinggi usaha MDAG Marketing Sdn Bhd membuat filem ini kerana sepak takraw bermula di Malaysia. Dengan penayangan filem ini, diharap ia dapat mempertingkatkan minat dan martabat sepak takraw semula,” katanya.
 
120 regu sah melibas

KUALA LUMPUR - Saringan Zon Timur Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang yang bermula esok, apabila mencatat penyertaan tertinggi dengan 120 regu mengesahkan penyertaan.

Semua regu akan mengetahui lawan masing-masing pada cabutan undian yang bakal dijalankan hari ini pada pukul 8.30 malam.

Eksekutif Kanan Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Bhd., Hazura Ahmad Halil berkata, ketika ini penyertaan telah pun ditutup dan esok perlawanan peringkat saringan akan bermula seawal pukul 8.30 pagi untuk pendaftaran.

"Perlawanan peringkat saringan yang bermula Sabtu ini akan di meriahkan dengan beberapa aktiviti yang menjanjikan hadiah misteri.

"Antaranya ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, pertandingan sepak raga bulatan dan lain-lain,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Hazura, selain aktiviti menarik seperti gerai jualan juga akan dibuka dan kehadiran orang ramai digalakkan.

Sementara itu, pada perlawanan akhir Ahad ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Yazer AF3 dan Afif AF9.

Penganjuran kejohanan mendapat kerjasama daripada syarikat makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) Holdings sebagai penaja utama, Nestle, 100 Plus, Figos, Antabax, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan UMP.
 
PSM A rebah akibat cetek pengalaman

PENGALAMAN menafikan pemain sepak takraw kebangsaan iaitu pasukan PSM A daripada meraih kejuaraan sulung Piala Raja Libas Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Kebangsaan di Stadium Titiwangsa semalam.

Kecetekan pengalaman PSM A membolehkan pasukan Lembah Pantai B yang dibarisi bekas pemain kebangsaan muncul juara dengan kemenangan 21-17, 21-14 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Hakikat kekalahan regu yang akan memburu emas di Sukan Sea November depan itu sememangnya terlalu sukar diterima apa lagi tewas dua set berturut-turut.

Begitupun, perejam berpengalaman Lembah Pantai B, Mohd Putra Abd Ghani tidak menyalahkan regu muda negara itu yang disifatkannya kurang keserasian.

“Kita tidak boleh katakan mereka tidak bagus kerana tewas hari ini. Melihatkan permainan mereka, saya sedar mereka kurang beraksi bersama dan memerlukan lebih banyak masa untuk menjadi regu yang baik,” kata Putra.

“Untuk menjadi regu yang baik, setiap pemain mesti sentiasa beraksi bersama. Saya nampak mereka mempunyai kekuatan secara individu.

“Tapi kekurangan yang ketara dalam regu ini adalah kurang karektor dan tiada pemain yang boleh memimpin. Dalam setiap regu mesti ada pemain yang boleh memimpin yang akan memberi panduan untuk menukar rentak permainan,” kata Putra.

Sementara itu, regu PSM A yang dibarisi Mohd Nazuha, Mohd Fazil Md Asri dan Mohd Fazali M Roslan akur dengan pengalaman regu emas Sukan Sea 2005.

“Kami baru saja digandingkan dan memang sukar untuk mencipta keserasian dan kombinasi yang baik,” kata Fazil, tekong yang baru menyertai latihan pusat tiga minggu lalu kerana terbabit dalam kursus Tentera Udara.”
 
Saifuddin puji penganjur

KUANTAN - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan langkah Kumpulan Utusan menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2011 sebagai satu cara memartabatkan lagi sukan sepaktakraw di negara ini.

Sambil memuji Kumpulan Utusan kerana penganjuran tersebut, beliau berkata, kejohanan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi minat anak muda dalam sukan tradisional ini.

"Saya difahamkan bahawa kejohanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ramai anak muda. Saya mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Utusan atas penganjuran ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh Astro Arena di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini semalam.

Sebanyak 116 regu saling bersaing dalam Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 peringkat zon timur yang bermula kelmarin dan berakhir semalam.

Empat saringan peringkat zon diperkenalkan iaitu Zon Selatan pada 19 dan 20 Jun, Zon Utara (1-2 Julai), Zon Timur (semalam) dan Zon Tengah (23-24 Julai).

Tambah beliau, kerajaan sentiasa memberi galakkan kepada golongan muda terutamanya mahasiswa untuk menyertai sukan ini.

"Pelbagai program yang dijalankan bagi menaikkan kembali zaman kegemilangan sukan sepak takraw ini di Malaysia

"Malah semua rakyat Malaysia amat mengidamkan untuk melihat kejuaraan dunia menjadi milik negara," katanya.

Katanya, harapan beliau supaya lebih ramai syarikat korporat seperti Kumpulan Utusan tampil untuk menganjurkan lagi kejohanan sukan lain di Malaysia.

Kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selain rakan strategik seperti KFC, Antabax, 100PLUS, Salim Sports dan Figos serta Astro Arena.

Selain itu, kejohanan ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kuantan, Universiti Malaysia Pahang dan Majlis Bandar Raya Alor Setar.
 
Skuad takraw yakin bentuk regu mantap Sukan SEA

BIARPUN hanya tinggal kira-kira empat bulan sebelum menyahut cabaran Sukan SEA di Indonesia, ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan optimistik mereka dapat menghasilkan kombinasi regu sesuai daripada senarai 17 pemain terpilih.

Baginya, tempoh singkat itu di antara beberapa siri kejohanan, termasuk kejohanan Piala Raja Thai, September ini akan menjadi medan menguji tahap kecergasan dan mencari gandingan serasi bagi mewakili negara di temasya dwi tahunan itu, November nanti.

“Saya masih perlu menguji semua pemain dan berharap mereka belajar daripada pengalaman lalu terutama pada kejohanan Raja Libas, baru-baru ini. Mungkin mereka masih kurang bersedia dalam segi mental dan kawalan bola.

“Jadi daripada 17 pemain ini kami masih menilai kombinasi terbaik daripada setiap kejohanan selepas ini dan daripada itu kami akan dapat melihat prestasi mereka. Selepas Raja Thai, kami akan membuat keputusan siapa bakal terpilih,” katanya.

Begitupun, Jamaluddin berkata, kebanyakan pemain disenarai masih muda dan ia suatu perkara yang baik dalam menghasilkan regu berwibawa untuk tempoh jangka masa panjang.
 
Gajah Putih cuba sorok 'gading'

KUALA LUMPUR - Sama ada memang merendah diri, mengelak tekanan selaku pasukan pilihan mahupun cuba menyembunyikan kekuatan, jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong menyifatkan semua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam Sepak Takraw Piala Dunia Pertama yang bermula esok.

Puncanya? Dia menuding jari kepada sistem kiraan baru 15 mata yang diperkenalkan sejak Januari lalu yang turut mampu menyukarkan skuad Gajah Putih, biarpun hadir dengan barisan pemain pemenang dua pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010.

Katanya, penguasaan Thailand hanya menerusi tekong dengan sistem lama 21 mata seperti Sukan Asia sudah tidak boleh dijamin dalam kejohanan anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Sukar untuk kami menyesuaikan diri dengan sistem baru 15 mata dengan servis tiga kali dan bergilir dengan lawan. Ia juga tidak menjamin kami akan terus juara kerana Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar bakal mempunyai peluang seimbang dengan kami.

"Namun kami tetap turun dengan barisan pemain juara Sukan Asia Guangzhou setelah memilih daripada 22 pemain di kem latihan pusat," katanya setibanya di sini bersama Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha (tekong), Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew (pelibas) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan).

Thailand yang menguasai dua daripada tiga pingat emas Sukan Asia, juga dijangka mudah melepasi Kumpulan A lelaki Piala Dunia yang membariskan Filipina dan Bangladesh sementara Malaysia mendapat laluan percuma ke pusingan kedua sebagai tuan rumah.

Kamol turut mengesahkan ikon sepak takraw Thailand, Suebsak Phunsueb sudah bersara dari arena antarabangsa dan tidak akan kembali menyarung jersi negaranya bagi Sukan SEA Indonesia, November ini.

"Saya dengar Malaysia kini menggunakan khidmat dua bekas pemain kami, Prawet Intar dan Taweet Wongkaen (sebagai perunding). Mereka memang bagus sebagai pemain dan jurulatih, tentu pasukan anda sudah banyak meningkat," katanya.

Jurulatih skuad wanita, Veeras Na Nongkhai pula berkata, kali ini mereka membawa hanya muka baru ke Piala Dunia selepas ramai tonggak senior sudah bersara selepas Sukan Asia Guangzhou termasuk 'Ratu Libas' Thailand, Tidawan Daosakul.
 
kiraan baru lg payah,cepat habis....mana2 team yg lambat panas...
em by2lah....kena 5kali ace...
 
Tukar pemain senjata baru kita

KUALA LUMPUR - Malaysia mampu membuat kejutan untuk mencipta sejarah sebagai juara sulung Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 yang bermula hari ini dengan memanfaatkan peraturan baru permainan, khususnya dalam strategi pertukaran pemain setiap set.

Ketua pasukan, Mohd. Helmi Ismail melihat pindaan peraturan sejak 17 Januari lalu itu turut mencerahkan peluang bagi jurulatih mempelbagaikan strategi menyerang dan bertahan sekali gus mengelirukan lawan yang mungkin memiliki kekuatan servis tekong.

Ditemui di Stadium Titiwangsa, semalam, katanya: "Setiap set, pemain boleh masuk dan keluar malah masuk semula dalam set berikutnya, jadi bagi saya, ia membuka peluang pasukan menggunakan strategi baru dengan kekuatan setiap pemain biarpun sesuatu set itu kadangkala berakhir lebih cepat.

"Kita juga perlu menyimpan stamina yang lebih sekiranya diheret ke lima set dalam sistem baru ini," katanya yang belum berpeluang untuk berdepan dengan musuh tradisi, Thailand yang ke Piala Dunia dengan barisan juara Sukan Asia Guangzhou 2010.

Laskar Udara Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini berjanji untuk sentiasa memberikan prestasi seratus peratus sama ada sekiranya diturunkan dalam regu utama mahupun sokongan padu apabila diletakkan di bangku simpanan mulanya.

Malaysia yang dijangka mengutamakan Noor Azman Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (pelibas) dan Farhan Adam (pengumpan) namun hanya akan bermain pada hari Sabtu kerana mendapat laluan percuma ke pusingan kedua sebagai tuan rumah Piala Dunia.

Sementara itu, tekong utama yang juga ketua pasukan Thailand, Kriangkrai Kaewmian mengakui turut gementar bercampur sedikit tertekan apabila menghadapi Piala Dunia ini biarpun sudah memenangi Piala Raja Thai, pingat emas Sukan SEA 2007-9 dan Sukan Asia 2010.

"Tiga bulan kami menjalani latihan persediaan ke sini tetapi kami bersaing sengit untuk ke sini di antara 22 pelatih di kem latihan," kata pemain Lembaga Pelabuhan Thailand yang bakal bergandingan dengan Anuwat Chaichana (pelibas) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan).

"Saya sempat perhatikan prestasi pemain Malaysia di Kedah (Kejohanan Jemputan Kelab-kelab Antarabangsa, April lalu). Mereka bagus tetapi mungkin belum dapat menemui rentak ketika itu (gagal ke perlawanan akhir)," katanya.
 
Back
Top
Log in Register