Skuad wanita Kemboja sedia ganti Laos
KUALA LUMPUR - Kemboja menyelamatkan jadual yang mungkin terpaksa dirombak penganjur Sepak Takraw Piala Dunia 2011 dengan kesediaannya menghantar pasukan wanita di samping lelaki bagi menggantikan Laos, yang terpaksa menolak penyertaan pada saat akhir.
Dikatakan banyak dipengaruhi faktor siaran langsung yang ditempah stesen MyTV (CTN), Kemboja kini akan tampil dalam kejohanan dari 21 hingga 24 Julai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu dengan tujuh pemain dan seorang pegawai.
Laos terpaksa menarik diri walaupun pada mulanya berjanji untuk menghantar sebuah pasukan wanita sahaja bagi menggenapkan 12 negara peserta kategori itu seperti yang disasarkan penganjur, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, penolakan Laos, naib juara antara regu lelaki Sukan SEA 2009 adalah disebabkan persatuan sepak takraw negara itu sudah pun dibubarkan dan tiada lagi pegawai yang mampu menyelia penghantaran sebarang pasukan ke luar negara.
"Tanpa Laos, Kemboja sanggup menjadi penggantinya sekali gus akan mengambil bahagian dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita Piala Dunia Pertama ini," katanya, yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kategori wanita Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 bakal turut disertai tuan rumah Malaysia yang dibimbing Md. Fikri Md. Nor; Thailand, Vietnam, Myanmar, China, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan, Filipina dan Indonesia dengan ganjaran juaranya ialah AS$4,000 (RM12,000).
Thailand yang seperti biasa di bawah bimbingan bekas pelibas era 80-an, Veeras Na Nongkhai, diramal akan terus menjadi pilihan utama kategori ini apatah lagi mereka menjuarai acara berpasukan dan antara regu Sukan Asia Guangzhou, November lalu.
Piala Dunia 2011 bagaimanapun hanya berformat antara regu malah agak mengejutkan apabila negara Gajah Putih itu membuat keputusan untuk tidak menghantar pelibas utama wanitanya, Tidawan Daosakul yang berpengalaman dalam beberapa Sukan SEA dan Asia lalu.
Skuad Kemboja: Chin Sovvanarith, Ream Sophearom, Heng Rawuth, Ung Narith, Chhuon Leng (lelaki), Nguon Chanboramey, San Sopheap, Chea Srey Meas (wanita).