Gajah Putih cuba sorok 'gading'
KUALA LUMPUR - Sama ada memang merendah diri, mengelak tekanan selaku pasukan pilihan mahupun cuba menyembunyikan kekuatan, jurulatih Thailand, Kamol Tankimhong menyifatkan semua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam Sepak Takraw Piala Dunia Pertama yang bermula esok.
Puncanya? Dia menuding jari kepada sistem kiraan baru 15 mata yang diperkenalkan sejak Januari lalu yang turut mampu menyukarkan skuad Gajah Putih, biarpun hadir dengan barisan pemain pemenang dua pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010.
Katanya, penguasaan Thailand hanya menerusi tekong dengan sistem lama 21 mata seperti Sukan Asia sudah tidak boleh dijamin dalam kejohanan anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
"Sukar untuk kami menyesuaikan diri dengan sistem baru 15 mata dengan servis tiga kali dan bergilir dengan lawan. Ia juga tidak menjamin kami akan terus juara kerana Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar bakal mempunyai peluang seimbang dengan kami.
"Namun kami tetap turun dengan barisan pemain juara Sukan Asia Guangzhou setelah memilih daripada 22 pemain di kem latihan pusat," katanya setibanya di sini bersama Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha (tekong), Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew (pelibas) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan).
Thailand yang menguasai dua daripada tiga pingat emas Sukan Asia, juga dijangka mudah melepasi Kumpulan A lelaki Piala Dunia yang membariskan Filipina dan Bangladesh sementara Malaysia mendapat laluan percuma ke pusingan kedua sebagai tuan rumah.
Kamol turut mengesahkan ikon sepak takraw Thailand, Suebsak Phunsueb sudah bersara dari arena antarabangsa dan tidak akan kembali menyarung jersi negaranya bagi Sukan SEA Indonesia, November ini.
"Saya dengar Malaysia kini menggunakan khidmat dua bekas pemain kami, Prawet Intar dan Taweet Wongkaen (sebagai perunding). Mereka memang bagus sebagai pemain dan jurulatih, tentu pasukan anda sudah banyak meningkat," katanya.
Jurulatih skuad wanita, Veeras Na Nongkhai pula berkata, kali ini mereka membawa hanya muka baru ke Piala Dunia selepas ramai tonggak senior sudah bersara selepas Sukan Asia Guangzhou termasuk 'Ratu Libas' Thailand, Tidawan Daosakul.