Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Selangor Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Aeroangkasa Utama Serantau
Exco Perdagangan Pelaburan dan Mobiliti Ng Sze Han (dua,kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan Forum AeroSpace Selangor sempena MyAERO Summit 2026 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.
Selangor mahu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab aeroangkasa Malaysia dan peneraju utama industri itu di peringkat serantau menerusi peluasan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembangunan tenaga kerja mahir serta pengukuhan ekosistem pelaburan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata hampir 70 peratus syarikat aeroangkasa di Malaysia beroperasi di Selangor, disokong kewujudan dua pintu masuk utama penerbangan negara iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan peningkatan penguasaan itu kepada lebih 70 peratus menjelang 2030.
“Subang sudah sekian lama menjadi nadi industri MRO negara, manakala pembangunan Selangor Aero Park seluas kira-kira 243 hektar (600 ekar) di KLIA kini sedang giat dilaksanakan dengan GE Aerospace sebagai penyewa utama yang akan membangunkan kemudahan ujian enjin serta MRO.
"Kita mahu meningkatkan rantaian nilai MRO. Kekuatan kita ialah dalam penyelenggaraan struktur pesawat, namun nilai lebih tinggi terletak pada penyelenggaraan enjin dan komponen kerana ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta pulangan ekonomi yang tinggi," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Aeroangkasa Selangor 2026 yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak MyAERO hari ini.
Ng berkata Selangor turut menyasarkan melahirkan kira-kira 22,000 tenaga kerja mahir dalam sektor aeroangkasa menjelang 2030 menerusi pelaburan dalam bidang pendidikan dan latihan bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.
Beliau berkata kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh infrastruktur serta menyediakan sokongan kepada pelabur bagi memastikan Selangor terus menjadi destinasi pilihan syarikat aeroangkasa global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris berkata industri penerbangan global kini berdepan dengan pelbagai cabaran susulan ketegangan geopolitik, gangguan ruang udara akibat konflik serta ketidaktentuan harga bahan api.
Beliau berkata perkembangan itu menuntut pemain industri meningkatkan daya tahan, mengekalkan disiplin kewangan yang kukuh serta menjalin kerjasama strategik bagi memastikan kelestarian jangka panjang.