kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,907
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,907
- Reaction score
- 99
- Points
- 80
Saravanan Sedia Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM
Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan bersama-sama isteri dan dua anaknya hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi ini bagi menerima notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membekalkan segala maklumat berkaitan harta yang dimilikinya sejak 2019, termasuk sumber harta dalam dan luar negara.
Bercakap kepada pemberita selepas selesai proses penerimaan notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 pagi ini, Ahli Parlimen Tapah itu berkata perkara itu adalah prosedur biasa bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap sebarang dakwaan, termasuk meneliti sama ada terdapat pemilikan harta atas namanya atau ahli keluarganya.
"Saya pun telah bersetuju untuk menyediakan segala maklumat yang diperlukan oleh SPRM. Ini adalah prosedur biasa. Ini bukan mahu sembunyi. Apabila ada tuduhan terhadap kita, sebelum tuduhan itu dibicarakan, mereka perlu tahu sama ada kita ada harta atas nama kita ataupun nama ahli keluarga.
"Saya telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak SPRM untuk membekalkan segala maklumat yang mereka perlukan. Tadi hanya terima notis sahaja. Saya datang dengan keluarga, isteri dan dua orang anak saya," katanya.
Beliau berkata SPRM memberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklumat berkenaan, selain bersedia memberikan lanjutan masa sekiranya diperlukan.
Saravanan berkata segala maklumat harta yang akan dikemukakannya kepada SPRM akan turut didedahkan kepada media sebagai tanda beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
"Saya akan mematuhi dan akur dengan permintaan SPRM. Saya berpendapat perkara yang mereka minta adalah patut. Kalau ada tuduhan terhadap mana-mana pihak, inilah cara mereka siasat sama ada kekayaan kita luar biasa atau tidak," katanya.
Beliau berkata pengalaman lebih 20 tahun menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam dan sebagai wakil rakyat tidak seharusnya dipersoalkan dari segi pemilikan harta yang diperoleh secara sah.
Usai bertemu dengan petugas media, beliau dan keluarganya bergerak meninggalkan bangunan ibu pejabat SPRM di sini pada 10.20 pagi.