BTC USD 75,446.5 Gold USD 4,261.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026

Fahmi Ziarah Peserta Persembahan Grafik Manusia Di Hospital Putrajaya​

0df944b92393dc5acda16b0d7a026b156a983ccf9a3b3

fb Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menziarahi Nur Rossuzieyana Safiyya Rosidi yang sedang menerima rawatan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Putrajaya selepas rebah ketika menyertai persembahan grafik manusia pada Sambutan Hari Kebangsaan, Isnin lepas.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 menerusi hantaran di Facebook berkata keadaan Nur Rossuzieyana Safiyya kini stabil.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar Nur Rossuzieyana Safiyya kembali pulih seperti sediakala.

“Semoga keluarga adik Suzie diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Persembahan grafik manusia sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya itu menampilkan 26 formasi yang menggabungkan gerakan kreatif, irama, budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia dalam satu penceritaan visual.

Persembahan berkenaan melibatkan seramai 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Selangor.

 

Laungan "Merdeka" Bergema Di Bumi Brussels​

2b7eebf8e1481bda88b604ebd9489b016a98fa21741c6


Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” bukan sahaja bergema di Dataran Putrajaya dan di seluruh pelosok negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, malah turut memecah keheningan bumi Brussels, Belgium.

Membuktikan semangat patriotisme rakyat Malaysia tetap utuh meskipun berada jauh dari tanah air, kira-kira 250 rakyat Malaysia di Belgium dan Luxembourg berhimpun bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Majlis itu dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Brussels dengan Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak sebagai tuan rumah.

Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku”, disusuli lafaz ikrar yang dipimpin Mohd Khalid.

Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara, dihayati dan dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia walau di mana mereka berada.

“Perjuangan mencapai kemerdekaan bukan sesuatu yang diperoleh dengan mudah. Ada keringat yang mengalir, air mata yang menitis, malah darah yang gugur ke bumi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Mohd Khalid berkata rakyat Malaysia di luar negara juga memainkan peranan penting sebagai duta kecil negara dalam memperkukuh imej serta memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Presiden Persatuan Malaysia Belgium dan Luxembourg (MABL) Sarala Vanherck yang menyifatkan sambutan tahunan berkenaan sebagai wadah penting untuk menyatukan komuniti Malaysia di kedua-dua negara,

 

AS Bawa Budaya Karnival Amerika Ke Sabah​

faf424cca8e9483e01686730af57872a6a99783744a66

Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur David Gamble (kiri) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Ceasar Mandela Malakun (dua, kanan) ketika menghadiri acara "Freedom 250 Fun Run dan Pesta Negeri Amerika" di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Amerika Syarikat (AS) membawa budaya karnival negeri atau state fair ke Sabah dengan menawarkan pelbagai jenis makanan, permainan, muzik dan aktiviti kemasyarakatan Amerika kepada penduduk tempatan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu.

Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur David Gamble berkata The Great American Sabah State Fair yang diadakan di Padang Merdeka di sini hari ini bertujuan memberi pengalaman yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Amerika kepada rakyat Sabah, selain meraikan hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Jadi, kami berpendapat tiada tempat yang lebih baik untuk meraikan Freedom 250, iaitu 250 tahun kemerdekaan AS, selain di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta larian Freedom250 Run pada majlis berkenaan.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Beliau berkata pihak kedutaan memilih untuk menganjurkan sambutan berskala besar itu di Sabah memandangkan 2026 tahun penting bagi AS, manakala Malaysia juga baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-69.

"Jadi, sudah tiba masanya untuk kami mengadakan sambutan secara besar-besaran bagi menonjolkan kepada rakyat Sabah suasana berkunjung ke karnival negeri di Amerika Syarikat supaya semua orang dapat merasai pengalaman tersebut," katanya.

Gamble berkata karnival negeri di AS lazimnya menampilkan permainan ala karnival, makanan, hiburan dan aktiviti keluarga dengan kebanyakan elemen itu turut diketengahkan pada acara di Sabah.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan pai epal dan makan sosej, permainan, persembahan selain kira-kira 40 vendor menawarkan pelbagai jenis makanan, hasil seni dan kraf tangan serta produk lain.

Karnival itu turut bertujuan menyediakan ruang kepada rakyat Sabah untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati pengalaman budaya Amerika.

 

Kementerian Perpaduan Anjur Program Mengenang Negarawan Tun Razak 8 Sept Ini​

77fff29b2f72fd8fb70603f24c9c92bc6a9a869977646

kredit: Kementerian Perpaduan Negara

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” pada 8 Sept ini di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana di sini.

KPN dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan merupakan usaha berterusan kementerian setiap tahun untuk mengangkat dan menghayati legasi serta sumbangan negarawan, selain menjadi antara pengisian sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kementerian menonjolkan peranan, sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak sebagai negarawan yang telah meletakkan asas kukuh pembangunan negara, perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan program berkenaan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata generasi muda perlu mengenali sejarah dan memahami legasi untuk melangkah sebagai sebuah negara bangsa.

“Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihayati dan dijadikan pedoman. Legasi para negarawan terdahulu bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan living legacy yang terus hidup melalui nilai, pemikiran dan perjuangan yang diwariskan kepada kita,” katanya.

KPN memaklumkan pelbagai program diadakan antaranya penampilan sesi pengisahan oleh anakanda Tun Abdul Razak, Datuk Seri Mohamed Nizam serta Sesi Bicara Negarawan yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.

KPN menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan yang diharap dapat menjadi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali sejarah, menghayati perjuangan serta menelusuri legasi Tun Abdul Razak dalam pembangunan negara bangsa.

 

Ops Bangkit: 191 NPK Dikeluarkan Terhadap Individu Buang Sampah Di Tempat Awam​

794bdf5fbb3cac36669e0098df4e910d6a891e8d6629d


Sebanyak 191 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan sehingga 31 Ogos lepas terhadap individu yang dikesan membuang sampah kecil di tempat awam menerusi pelaksanaan Ops Bangkit sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi bersepadu bersama-sama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilaksanakan selama lapan hari dari 24 hingga 31 Ogos lepas bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan kebersihan di lokasi tumpuan awam.

"Operasi ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif KPKT untuk memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara, di samping meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran masyarakat agar tidak melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

"Pemantauan turut dipertingkat pada malam 30 Ogos 2026 bersempena Sambutan Ambang Hari Kebangsaan," menurut KPKT.

Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang menerima notis NPK boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan sebagai hukuman tambahan, diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam di bawah Seksyen 77B Akta yang sama.

KPKT memberitahu sebanyak 234 anggota penguat kuasa SWCorp telah digerakkan bagi melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di 56 lokasi melibatkan tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Dalam kenyataan sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya untuk mendidik dan membentuk sikap masyarakat agar lebih bertanggungjawab.

"Kebersihan negara bermula daripada disiplin setiap individu. Jangan jadikan membuang sampah sesuka hati sebagai satu kebiasaan kerana menjaga kebersihan ruang awam adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, konsisten dan berterusan bagi meningkatkan pematuhan terhadap perundangan, di samping membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

 

1,100 Peserta Meriahkan "Fun Walk" Jiwa Merdeka Hang Tuah Jaya​

9142bfdbcc46cc6995d3b7cd53f7d0b96a9cc51e4b728

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim (tengah) yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya bergambar bersama para peserta Program Fun Walk Jiwa Merdeka Hang Tuah Jaya 2.0 di Kompleks Belia dan Sukan Ayer Keroh, malam tadi.

Kira-kira 1,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat menyertai acara tersebut sejauh dua kilometer.

- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Oleh Nursuraya Zulkifli

MELAKA, 6 Sept (Bernama) – Kira-kira 1,100 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Fun Walk Jiwa Merdeka Hang Tuah Jaya (HTJ) 2.0 di Kompleks Belia dan Sukan Melaka (KOMBES), Ayer Keroh malam tadi, dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim berkata penyertaan pada edisi kedua program itu kian meningkat berbanding tahun lepas, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti yang menyatukan pelbagai lapisan komuniti.

“Ini anjuran kali kedua dan alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan, mengeratkan ukhuwah serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membawa keluarga, rakan-rakan serta yang datang dari jauh dan dekat untuk memberikan sokongan kepada Fun Walk Jiwa Merdeka,” katanya kepada Bernama selepas program tersebut di sini, malam tadi.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan bagi sambutan Bulan Kebangsaan di Parlimen Hang Tuah Jaya, termasuk edaran Jalur Gemilang serta program berskala kecil yang memberikan penekanan terhadap pengertian dan penghayatan kemerdekaan.

“Selain Fun Walk Jiwa Merdeka, kita juga edarkan bendera dan laksana beberapa program yang bertujuan memastikan kita bukan hanya semata-mata mengadakan sambutan, tetapi juga pengertian dan penghayatan yang lebih mendalam seperti forum serta pertandingan kecil,” katanya.

Fun Walk Jiwa Merdeka HTJ 2.0 menyusuri laluan sejauh 2.5 kilometer bermula dari KOMBES melalui Jalan Tasik, Jalan Zoo dan Dataran Sejarah sebelum kembali ke lokasi permulaan, dengan enam checkpoint disediakan sepanjang laluan.

Program itu turut mendapat sokongan Jabatan Penerangan Melaka, Akademi Kenegaraan Malaysia, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Komuniti MADANI serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.

 
bulan nie ade ke movie Bukit Kepong disiarkan di tv nasional

mcm xde je
 

Shopee Raikan Juara Lokal Malaysia Dalam Penyertaan Sulung Perarakan Hari Kebangsaan​

a2a6e338db6b1f5032cf036e4b5dd00e6a9e2b8f312e5

498e8a4650d253128b847c9cdaef641f6a9e2b7923fa4

9cd3cb980c01b431c60e484af2e0a7106a9e2b5e9af0f

Kredit: Shopee

Platform e-dagang terkemuka, Shopee melakar sejarah tersendiri apabila menyertai perarakan Hari Kebangsaan 2026 buat julung kalinya pada 31 Ogos lepas menerusi kontinjen yang meraikan sumbangan usahawan tempatan dan penggerak ekonomi digital negara.

Shopee dalam kenyataan memaklumkan kontinjen tersebut turut menghidupkan semangat ‘Shopee Juara Lokal’ menerusi kempen Merdeka Shopee yang melibatkan usahawan tempatan, pencipta kandungan digital serta warga kerja yang menyokong perkembangan ekonomi digital Malaysia.

Kontinjen Shopee itu diketuai usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman manakala pencipta kandungan Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai MadNor diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera, selain disertai 45 warga kerja daripada pelbagai jabatan.

"Penyertaan sulung Shopee dalam perarakan kebangsaan ini bukan sekadar meraikan semangat cintakan negara, malah juga sebagai tanda penghargaan kepada para usahawan tempatan dan komuniti yang telah berkembang bersama Shopee sepanjang perjalanannya di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata penyertaan sulung dalam perarakan Hari Kebangsaan itu menjadi kesempatan untuk meraikan komuniti dan menghargai semangat keusahawanan rakyat Malaysia.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan negara, Shopee mahu terus berperanan membantu lebih ramai usahawan tempatan memperkukuh keupayaan, mencapai lebih ramai pelanggan dan mengembangkan lagi aspirasi mereka.

"Kejayaan mereka bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital malah juga memberikan kesan kepada komuniti dan sumber kehidupan di sekeliling mereka.

"Melihat seorang usahawan, seorang pencipta kandungan dan warga kerja kami sendiri berarak bersama-sama menjadikan detik ini lebih bermakna kerana, dalam cara masing-masing, mereka mewakili komuniti yang telah berkembang bersama Shopee di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Aliff Syukri yang juga pengasas jenama kesihatan dan kecantikan D’Herbs berkata ketika berada dalam barisan perarakan, semua peserta ialah rakyat Malaysia yang bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan tanpa mengira jawatan atau latar belakang.

 

Empat Kali Daki Bukit Hantu Demi Kibarkan Jalur Gemilang Gergasi​

dc37b59445b7850c8ec6b6b1bf3a1b826a9e6e9d2f082

Penduduk Kampung Bukit Hantu memasang Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu selepas menempuh laluan sempit, cerun curam serta permukaan berbatu tajam dan licin di sini hari ini.

Laluan sempit, cerun curam serta permukaan berbatu tajam dan licin bukan penghalang bagi sekumpulan Komuniti Kampung Bukit Hantu untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu, di sini.

Demi merealisasikan hasrat itu, mereka terpaksa mengulangi pendakian sebanyak empat kali selepas tiang bendera yang digunakan patah akibat dilanda angin ribut.

Pengerusi Komuniti Kampung Bukit Hantu, Arif Fazilah Abdullah berkata cabaran itu tidak mematahkan semangat penduduk untuk membawa bendera berukuran 15 kaki lebar dan 30 kaki panjang ke puncak bukit setinggi 120 meter dari paras laut itu.

“Usaha membawa naik bendera bersama tiang memang sukar kerana laluan menuju ke puncak berbatu, curam dan sempit.

“Kami pada mulanya menggunakan tiang kayu, namun patah sebanyak empat kali akibat ribut. Akhirnya, kami menggunakan tiang besi sepanjang 10 meter yang perlu diusung beberapa penduduk tanpa peralatan khusus,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Hantu, Kodiang sini hari ini.

Beliau berkata kegigihan penduduk akhirnya membuahkan hasil apabila Jalur Gemilang gergasi itu berjaya dipasang dan dikibarkan di puncak bukit, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Jalur Gemilang itu dihasilkan secara gotong-royong apabila penduduk bersama-sama menjahit dan mengecat sebelum membawanya ke puncak, katanya.

Sementara itu, penduduk, Johari Mohd Said, 65, berkata semangat tidak mengenal jemu dalam kalangan golongan muda menjadi antara faktor utama kejayaan usaha berkenaan.

“Saya bersyukur dengan semangat anak-anak muda di kawasan Bukit Hantu yang tidak putus asa sehingga hari ini kita dapat melihat bendera Malaysia berdiri megah di puncak,” katanya.

 

Penganjuran Sambutan Hari Malaysia Di BCKK Sedia Persekitaran Selamat Kepada Hadirin​

6b44502b967f25df5bd20faabab2633e6936be2d33299


Keputusan menganjurkan sambutan Hari Malaysia di dalam bangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Sarawak pada 16 Sept bertujuan menyediakan persekitaran selamat susulan jerebu ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan (JAPEN) Yumna Baharuddin berkata keputusan itu juga bagi menyediakan persekitaran yang terkawal suhunya kepada semua hadirin dalam situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, beliau berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah pada tahun ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 2020 untuk melaksanakan sistem penggiliran antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Sistem penggiliran ini memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi geografi, dapat bersama-sama merasai semangat dan nilai sejarah Hari Malaysia secara langsung.

“Susulan penganjuran oleh Pulau Pinang pada 2025, sambutan kembali dibawa ke Sarawak yang membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh integrasi nasional merentasi semua wilayah,” katanya dalam temu bual eksklusif di TRAXX FM hari ini.

Selain itu, Yumna berkongsi kepentingan tarikh sambutan Hari Malaysia.

“Jika 31 Ogos memperingati kemerdekaan pada 1957, 16 Sept pula menandakan penyatuan bersejarah pada 1963 yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura menjadi sebuah persekutuan yang berdaulat,” katanya.

Sambutan tahun ini mengekalkan tema Hari Kebangsaan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang digandingkan dengan slogan perpaduan Sarawak “Segulai Sejalai” (Seiring Sejalan).

Acara di BCCK akan menampilkan pelbagai persembahan simbolik dan kebudayaan termasuk segmen alu-aluan antara etnik yang menggabungkan persembahan silat, hadrah, gendang pampat dan tarian singa.

 
Back
Top
Log in Register