Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Hari Malaysia 2026: Semangat Malaysia Bergema Di Kuching
Antara persembahan tarian tradisional pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Tema rasmi bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 ialah Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kemeriahan Sambutan Hari Malaysia 2026 tetap dirasai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini apabila kira-kira 5,000 pengunjung memenuhi ruang dewan, meskipun acara diadakan di dalam bangunan susulan keadaan jerebu rentas sempadan.
Sambutan bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati” itu turut disiarkan menerusi pelbagai platform televisyen dan digital bagi membolehkan rakyat menyaksikan kemeriahan acara.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir sebagai tetamu kehormat utama pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan itu.
Acara dimulakan dengan persembahan selamat datang “Segulai Sejalai”, selain lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyampaikan ucapan, disusuli simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2026 secara digital bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tanda tekad memperkukuh perpaduan.
Acara kemuncak sambutan diserikan dengan upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Hari Malaysia 2026, sebelum diikuti perarakan masuk konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan bacaan Rukun Negara yang dipimpin petinju Sarawak, Muhammad Asyraf Abdullah, 26, atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy.
Hadirin turut disajikan persembahan teater muzikal “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati” serta “Serumpun MADANI Tiga Wilayah” yang mengangkat semangat patriotisme dan perpaduan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Persembahan penutup oleh Faizal Tahir menerusi lagu “Aku Berjanji” juga mendapat tepukan gemuruh hadirin sebelum sambutan diakhiri dengan pertunjukan bunga api di Tebingan Kuching.