combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,120
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,120
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
RUU profesion Kerja Sosial Perkukuh Sistem Perlindungan Sosial - MASW
Datuk Seri Nancy Shukri
Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW) menyifatkan pembentangan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026 di Parlimen hari ini sebagai langkah penting ke arah mengiktiraf secara rasmi pengamal kerja sosial serta memperkukuh sistem perlindungan sosial di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, MASW turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta kementerian itu atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam pembentangan RUU berkenaan.
Menurut MASW, RUU itu pencapaian yang amat dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh ribuan pekerja sosial di seluruh negara, yang membolehkan kepakaran serta sumbangan mereka terhadap kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat menerima pengiktirafan undang-undang secara rasmi.
Presidennya Dr Teoh Ai Hua berkata RUU memperlihatkan bahawa perlindungan, kesejahteraan dan maruah rakyat Malaysia perlu dipelihara oleh pengamal kerja sosial yang cekap, beretika dan diiktiraf secara profesional.
“MASW bersedia untuk menyokong pelaksanaannya demi manfaat negara," katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata RUU itu juga akan meletakkan Malaysia sejajar dengan piawaian antarabangsa, yang diiktiraf dalam amalan serta pendidikan kerja sosial.
Ia termasuk Ha Noi Declaration on Strengthening Social Work towards a Cohesive and Responsive ASEAN Community (2020) serta the Global Standards for Social Work Education and Training (2020), yang dibangunkan oleh Persatuan Antarabangsa Sekolah Kerja Sosial (IASSW) dan Persekutuan Pekerja Sosial Antarabangsa (IFSW).
Sementara itu, Naib Presiden MASW Dr Mohd Iqbal Haqim Mohd Nor berkata pembentangan RUU berkenaan telah membuktikan bahawa usaha advokasi selama bertahun-tahun menjadi kenyataan.
"Kami berharap kerja sosial menjadi profesion yang dikawal selia sepenuhnya dan dihargai pada masa akan datang, sekali gus memastikan standard penjagaan tertinggi untuk setiap rakyat Malaysia yang memerlukan," katanya.