kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,711
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,711
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
RM25.3 Juta Masuk Akaun Bersatu Selepas Syarikat Peroleh Projek Jana Wibawa - Saksi
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh individu dan syarikat, bukan sumbangan politik, sebaliknya sebagai balasan setelah memperoleh projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd Zaini, 42, berkata jumlah itu direkodkan melalui transaksi antara 22 Sept 2021 hingga 22 Nov 2022, membabitkan syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, Pengarahnya Datuk Seri Azman Yusoff, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd.
“Hasil semakan terhadap akaun-akaun bank Parti Bersatu mendapati, individu dan syarikat yang berjaya mendapat projek Jana Wibawa telah memasukkan wang ke dalam akaun milik parti itu yang mana akaun ini dikawal oleh tertuduh (Muhyiddin). Saya tidak menemui apa-apa resit penerimaan sumbangan yang dikeluarkan oleh parti Bersatu kepada empat syarikat berkenaan dan Azman,” katanya.
Mazery, yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Menurut saksi pendakwaan ke-29 itu, penelitian terhadap keseluruhan kronologi, keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh, wang berkenaan bukan sumbangan politik tetapi mempunyai pertalian rapat dengan tindakan Muhyiddin membantu syarikat terbabit mendapatkan projek.
“Hasil siasatan juga mendapati wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik atau satu kebetulan, sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh yang membantu mereka mendapatkan projek tersebut.
“Ia mempunyai pertalian rapat dan menunjukkan pemberian wang itu bukan sumbangan politik sahaja, sebaliknya satu balasan selepas projek diperolehi walaupun bila tertuduh tidak menjadi perdana menteri lagi," katanya.
Mengenai proses perolehan projek, Mazery berkata walaupun keputusan muktamad penganugerahan projek masih tertakluk kepada proses penilaian dan kelulusan Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan Muhyiddin mengeluarkan surat dan menurunkan minit telah membuka laluan kepada syarikat terbabit untuk dipertimbangkan.
“Berdasarkan penelitian terhadap surat dan minit yang diturunkan Muhyiddin serta tindakan susulan Kementerian Kewangan, kandungan surat itu bukan sekadar permohonan untuk pertimbangan, sebaliknya menunjukkan satu arahan pentadbiran yang mendorong tindakan lanjut Kementerian Kewangan sehingga syarikat terbabit dianugerahkan projek,” katanya.