combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Suasana penuh khusyuk menyelimuti Masjid Negara malam ini apabila umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih pertama Ramadan 1447 Hijrah. Umat Islam di seluruh negara dijangka menunaikan ibadah puasa, rukum ketiga Islam, bermula esok, menghayati malam-malam Ramadan dengan amal ibadah, doa dan zikir, sambil menanamkan nilai kesabaran dan taqwa dalam diri. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Malam pertama Ramadan disambut penuh kesyukuran di seluruh negara apabila ribuan umat Islam membanjiri masjid dan surau bagi menunaikan solat sunat tarawih, menandakan bermulanya bulan penuh keberkatan yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Seawal waktu isyak, jemaah daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dilihat memenuhi ruang solat, dengan sebahagian masjid mencatat kehadiran luar biasa, mencerminkan semangat umat Islam menyempurnakan rukun Islam keempat, iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.
Di IBU NEGARA, tinjauan Bernama di Masjid Negara mendapati dewan solat utama yang mampu menampung hingga 15,000 jemaah dipenuhi umat Islam tempatan serta warga asing seawal waktu isyak bagi menghayati malam pertama bulan mulia itu.
Di SELANGOR, walaupun hujan, namun tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam seawal 8 malam sebelum azan berkumandang bagi menunaikan solat isyak dan tarawih berjemaah.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam hantaran di Facebook mengucapkan selamat berpuasa dan berharap Ramadan menjadi ruang memperteguh iman, memperbanyak amal, serta membersihkan hati dan niat dalam setiap urusan.
“Saya mendoakan agar segala ibadah kita dipermudah, kesihatan dipelihara, rezeki diberkati, dan keluarga diberi ketenangan. Marilah kita jadikan Ramadan sebagai madrasah untuk mendidik jiwa, memperkukuh disiplin, dan menyemai kasih sayang sesama insan,” katanya.
Di KELANTAN, perantau yang pulang sempena cuti Tahun Baharu Cina semalam, mengambil peluang menunaikan tarawih berjemaah bersama keluarga di masjid mahupun surau berhampiran.
Penjawat awam Muhammad Nur Yazdani Rosli, 28, berkata dia pulang ke kampung halaman di Kuala Krai sejak Sabtu lepas bagi menyambut Ramadan bersama keluarga selepas tidak berpeluang berbuat demikian tahun lepas kerana komitmen kerja.
"Saya mohon cuti pada awal Ramadan kerana ingin berpuasa dan solat tarawih bersama keluarga. Secara tidak langsung dapat juga berjumpa dengan sahabat lama dan mengeratkan silaturahim bersama para jemaah yang lain," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Mukim Kenor, di Kuala Krai hari ini.
Ribuan Umat Islam Imarahkan Malam Pertama Tarawih Di Seluruh Negara
rangkuman, tarawih, Ramadan, suasana, ibadah, puas