combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Program PERDA Santuni Komuniti MADANI Bantu Penduduk, Libat Empat Lagi Lokasi
Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin (tengah) mengadakan sidang media pada Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDA Di Hati Tahun 2026 di Permatang Berangan hari ini.
Turut sama Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum (kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah PERDA Datuk Omar Abd Hamid.
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan menganjurkan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati di empat lagi lokasi di negeri itu tahun ini bagi mendekati masyarakat luar bandar menerusi aktiviti kemasyarakatan dan bantuan kepada penduduk setempat.
Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata lokasi telah dikenal pasti ialah Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau yang akan memberi manfaat kepada lebih 12,000 orang selepas kejayaan penganjuran program pertama tahun ini di Permatang Berangan dalam Parlimen Tasek Gelugor hari ini.
Beliau berkata program itu antara agenda utama PERDA untuk mendekati rakyat selain menjadi platform menyampaikan pelbagai perkhidmatan dan bantuan kerajaan secara terus kepada komuniti.
“Konsep program itu ialah kita tidak mahu masyarakat sahaja datang kepada kita, sebaliknya PERDA sendiri pergi ke kawasan komuniti bagi mendekati penduduk dan memahami keperluan mereka.
“Program hari ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila lebih 3,000 penduduk hadir menyertai pelbagai aktiviti termasuk Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Shaik Hussein berkata demikian selepas merasmikan Program PERDA Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati Kawasan Permatang Berangan di Dewan Terbuka Masjid Jamek Al-Islah, Pokok Tampang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.
Beliau berkata PERDA memperuntukkan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap program itu dengan nilai keseluruhan manfaat disalurkan kepada komuniti termasuk sumbangan daripada agensi dan pihak persendirian dianggarkan mencecah RM200,000.
Selain itu, program tersebut juga mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan serta bantuan kepada penduduk.
“Program yang bermula pada 2023 dengan 16 siri telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang, diteruskan tahun ini di lima kawasan di bawah pentadbiran PERDA dengan sasaran penglibatan 15,000 orang. Kami akan terus memperluas penganjurannya supaya lebih ramai penduduk luar bandar mendapat manfaatnya,” katanya.