kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,714
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,714
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah Didakwa Dapatkan Suapan RM2 Juta
Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah Makinsos Nawai (dua, kanan), diiringi peguamnya Ram Singh (kanan) dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiba di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini bagi menghadapi pertuduhan menyeleweng peruntukan pembinaan dewan berjumlah RM2 juta.
Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah Makinsos Nawai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM2 juta, empat tahun lepas.
Makinsos membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mengikut pertuduhan, Makinsos didakwa menggunakan jawatannya sebagai presiden pertubuhan berkenaan untuk mendapatkan suapan berhubung pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus daripada Kementerian Kewangan Sabah.
Beliau didakwa mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan itu, sedangkan beliau mempunyai kepentingan dalam menguruskan permohonan peruntukan serta pelaksanaan projek tersebut.
Makinsos dituduh melakukan kesalahan itu di Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus, Kota Marudu sekitar 2022.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Makinsos diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali sehingga kes selesai, serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.