Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Polis Siasat Video Tular Pergaduhan Di Kompleks Sukan Pandamaran
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey
Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira 1.20 tengah hari melibatkan dua lelaki, dengan seorang daripada mereka merupakan pelajar sekolah berusia 16 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang mengesan semua individu yang terlibat dalam pergaduhan terbabit.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Baaz Mohd Zohari melalui talian 016-4117885, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di Facebook rakaman video memaparkan pergaduhan antara dua lelaki yang disaksikan sekumpulan individu, dipercayai berlaku di kawasan sekitar Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.