combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,186
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,186
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Polis, Bomba Lancar SAR Lelaki Hilang Sejak Bulan Lepas
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab (dua, kanan) mengadakan sidang media berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Shahir Zainul, 45, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru, dekat sini pada 10 Jun lepas.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada 10 Jun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata Shahir Zainul, 45, dikatakan dilihat kali terakhir selepas keluar dari rumah di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru pada kira-kira 5 pagi dengan menunggang motosikal.
“Laporan kehilangan dibuat oleh ibu mangsa pada 12 Jun mendakwa anaknya tidak pulang ke rumah selama dua hari selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Polis menemukan motosikal dan topi keledar milik lelaki itu di tepi Jalan Lebuh Bukit Jambul, dipercayai lokasi terakhir mangsa yang dijadikan petunjuk awal bagi memperluas operasi ke kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi di Dusun Durian Pusat Pertanian Relau, dekat sini hari ini.
Anuwal berkata SAR hari ini melibatkan 30 anggota polis dan JBPM, diperluas ke kawasan hutan serta kebun durian berhampiran lokasi penemuan motosikal itu.
Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata operasi SAR yang bermula pada 10.30 pagi melibatkan 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Perak dan Bayan Baru serta dibantu anak lelaki mangsa.
“Kawasan pencarian dibahagikan kepada beberapa zon dengan radius pencarian dianggarkan sehingga tiga ekar (kira-kira 1.2 hektar) di kawasan kebun durian dan tempoh operasi akan ditentukan berdasarkan petunjuk dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa Salmah Shamsudin, 72, yang berada di lokasi operasi berharap anak bongsunya yang hilang sejak lebih sebulan lepas, dapat ditemukan walau dalam apa juga keadaan.
“Ini tempoh paling lama dia tidak pulang ke rumah dan kami amat bimbang terutama dua cucu saya yang berusia 13 dan 15 tahun,” katanya.