kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Shehbaz yang tiba pada pukul 10 pagi, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Majlis sambutan itu turut dihadiri oleh para diplomat asing, pegawai kanan kerajaan serta wakil kementerian dan agensi dari kedua-dua negara.
Lawatan Shehbaz ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri dan bertujuan membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, sekali gus mencerminkan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Selepas upacara sambutan, Shehbaz menandatangani buku pelawat sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Anwar.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti semula hubungan dua hala Malaysia–Pakistan serta meneroka bidang kerjasama baharu khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) melibatkan bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan dan pembanterasan rasuah, serta perusahaan kecil dan sederhana.
PM Pakistan Shehbaz Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra
Anwar Ibrahim, Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif