kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
PM Anwar Umum Peruntukan RM5 Juta Kepada MBM, Perkasa Pembangunan Belia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan buku Pelan Tindakan Pembangunan Belia pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 'Menggerak Belia MADANI' hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasa peranan badan induk itu dalam memacu pembangunan golongan belia di negara ini.
Beliau berkata tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta berbanding tahun lepas itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan MBM sebagai penggerak utama agenda belia di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pelbagai program pembangunan golongan muda.
“MBM...menggerakkan satu-satunya persatuan belia di bawah naungan KBS. Jadi tahun ini, saya setuju tambah jadi RM5 juta...tahun lepas RM4 juta,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan Pembangunan Syiar Islam yang memanfaatkan 7,091 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam masjid kariah, guru takmir serta petugas masjid seluruh negara dengan keseluruhan implikasi kewangan berjumlah RM42.3 juta.
Selain itu, beliau berkata sokongan turut merangkumi institusi pendidikan Islam seperti pondok, maahad tahfiz, sekolah agama serta premis KAFA yang beroperasi di luar seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan pengukuhan institusi.
Dalam pada itu Anwar berkata sebanyak tiga projek diluluskan di Negeri Sembilan menerusi kerja pembaikan kecil di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) bagi institusi pondok dan tahfiz.
Projek tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM800,000 merangkumi kerja-kerja pembaikan infrastruktur asas di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah Kuala Sawah Rantau, Madrasah Az-Zaakiriin dan Pondok Pesantren Darul Tauhid.
Sementara itu dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memuji kecekalan dan semangat Aminuddin dalam mengharungi kemelut politik negeri dengan pendekatan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
PM Anwar Umum Peruntukan RM5 Juta Kepada MBM, Perkasa Pembangunan Belia
ANWAR, MBM, peruntukan, RM5 juta, belia