ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Dari kiri: Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad; Aminar Rashid dan Ketua Pegawai Operasi Perodua, Zahari Husin selepas membentangkan prestasi Perodua untuk separuh tahun pertama 2013 di Kuala Lumpur. - FOTO: SAFWAN MANSOR
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin terus mengekalkan prestasi terbaiknya untuk separuh kedua tahun ini, sekali gus meningkatkan nilai penguasaan pasaran kepada 33 peratus berbanding 31 peratus pada separuh pertama 2013.
Walaupun jualan kenderaan Perodua Jun lalu dilihat menurun 4.1 peratus daripada 16,400 unit kepada 15,800 unit yang disebabkan penurunan harga kereta dan persekitaran pasaran yang sukar berikutan peningkatan persaingan, Perodua yakin sasaran itu akan dapat dicapai dengan disokong pelbagai promosi menarik, model S Series dan musim perayaan.
Pada separuh pertama tahun ini yang berakhir 30 Jun lalu, Perodua mencatatkan pertumbuhan empat peratus bagi jualan kereta untuk enam bulan pertama daripada 92,900 unit kepada 96,900 unit untuk tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan jualan itu terutamanya adalah didorong oleh pengenalan tiga varian terbaru S Series iaitu Viva, MyVi dan Alza awal Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, setakat ini S Series telah menyumbang dengan ketara kepada jumlah jualan untuk tahun ini.
“Sejak dilancarkan 14 Mac lalu, Perodua merekodkan tempahan sebanyak 51,700 unit dan telah menghantar 37,700 unit S Series,” katanya pada majlis pembentangan prestasi separuh tahun pertama syarikat di Kuala Lumpur, kelmarin.
Melangkah ke hadapan, Perodua yakin dapat mencapai sasaran jualan kenderaan keseluruhan sebanyak 194,000 menjelang hujung tahun meskipun berdepan pelbagai cabaran dan persaingan.
Menurut Aminar, dengan adanya gudang peralatan terbaru yang akan mula beroperasi sepenuhnya Ogos ini, ia dijangka dapat meningkatkan lagi keupayaan pengedaran peralatan dan seterusnya memberikan yang terbaik kepada pelanggan.
Sementara itu, mengulas mengenai persaingan antara Perodua dan pengeluar kereta nasional Proton, Aminar berkata, pihaknya tidak melihat ia sebagai persaingan kerana kedua-duanya adalah saling melengkapi antara satu sama lain.
“Pasaran segmen kenderaan yang ditawarkan adalah berbeza di mana Perodua mengeluarkan kereta kompak manakala Proton menghasilkan kenderaan sedan.
“Selain itu, pertumbuhan Perodua turut disokong oleh kejayaan vendor yang mengukuhkan lagi kedudukan syarikat di pasaran,” katanya.