combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,187
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,187
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Perlis Boleh Dipacu Jadi Makmal Terbaik Uji Dasar Kelestarian - Raja Muda
Foto kredit : Istana Arau
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Perlis boleh dipacu menjadi “makmal" terbaik untuk menguji dasar kelestarian ke arah sebuah "Negeri Pintar Hijau" atau Green Smart State.
Baginda bertitah negeri itu dengan saiznya yang tidak berapa besar sewajarnya menjadi sebagai antara sebuah negeri terawal di Malaysia menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu iaitu solar dan biojisim serta mengaplikasikan sistem pengurusan sisa pintar.
"Status sifar karbon jika berjaya dilaksanakan sepertimana yang dirancang akan membuktikan bahawa Perlis juga tidak ketinggalan berwawasan global dalam isu perubahan iklim," titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini.
Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena sesi menghadap delegasi Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diketuai Yang Dipertuanya Affendi Rajini Kanth ke atas baginda di Galeri Diraja Arau di Arau semalam.
Kenyataan itu turut memaklumkan Affendi menyembah maklum bahawa MPK terus memperkukuh komitmen dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan menerusi penyediaan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) yang menjadi dokumen strategik bagi memacu pembangunan rendah karbon, meningkatkan daya tahan bandar serta memperkasakan usaha mitigasi perubahan iklim di Perlis.
Pelan berkenaan disediakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi, Majlis Perniagaan Bersama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT JBC), ICLEI – Local Governments for Sustainability serta Bank Pembangunan Asia (ADB).
Menurut Affendi, dokumen berkenaan telah diluluskan di peringkat MPK pada 10 Feb lepas dan bakal menjadi panduan utama dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar hijau di Perlis.
Affendi memaklumkan bagi merealisasikan hasrat itu, lima projek keutamaan dikenal pasti sebagai pemangkin kepada pelaksanaan GCAP, yang kesemua inisiatif itu dirangka bagi mempercepat transformasi Perlis ke arah sebuah negeri lebih hijau, rendah karbon, berdaya tahan serta mampan.
"GCAP bertujuan mewujudkan sebuah bandar yang lebih hijau, berdaya tahan, rendah karbon dan mampan melalui pendekatan pembangunan yang mengimbangi aspek ekonomi, sosial serta alam sekitar. Pelan itu juga selaras dengan aspirasi negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," menurut kenyataan itu.